JUWAIDI (kanan) bersama Fatin Nurfatehah memenangi emas acara compound berpasukan campuran di Sukan Sea Hanoi, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
JUWAIDI (kanan) bersama Fatin Nurfatehah memenangi emas acara compound berpasukan campuran di Sukan Sea Hanoi, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Atlet memanah berpengalaman negara, Juwaidi Mazuki dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh meraih pingat emas bagi acara compound berpasukan campuran di Sukan Sea Hanoi, hari ini.

Ia adalah emas ketiga gandingan itu sepanjang penyertaan dalam temasya dwitahunan itu.

Kali ini, mereka menundukkan atlet Filipina Jennifer Dy Chan-Paul Marton Santos Dela Cruz 151-150 (37-36, 38-39, 38-37, 38-38) di Pusat Latihan Kebangsaan Hanoi.

Thailand sekadar meraih gangsa selepas menewaskan Vietnam 154-153 dalam playoff pingat gangsa.

"Ia sangat dekat, kami memenanginya hanya dengan satu mata. Saya rasa ia sangat bermakna buat kami hari ini.

"Panahan saya tidak berada pada tahap terbaik hari ini tetapi semasa membuat panahan terakhir itu saya ingatkan diri supaya melakukan yang terbaik kerana ini adalah untuk negara," kata Fatin.

Menurutnya, dia bersyukur kerana segalanya berjalan lancar dan perlu berterima kasih kepada Juwaidi kerana tanpanya, mereka tidak akan dapat ke final.

Katanya, ia adalah emas ketiga mereka dalam acara berpasukan campuran selepas memenangi acara sama di Sukan Sea Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017.

Sebelum itu, Juwaidi, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazali dan Wong Co Wan meraih perak dalam acara berpasukan lelaki apabila tewas 230-229 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir.

Filipina meraih gangsa acara berpasukan lelaki selepas menewaskan Thailand 231-229.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 4:50 PM