GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Syafiq Aznan


‘PENGIKTIRAFAN’ Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap kemampuan pemain naturalisasi dilihat mencerminkan kegagalan badan induk itu meskipun sudah lebih 80 tahun menerajui bola sepak di negara ini.

Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim menyifatkan tindakan FAM yang cuba mengambil ‘jalan pintas’ itu sedikit sebanyak membuktikan kegagalan badan induk itu dalam merangka program pembangunan akar umbi.

“Pada saat FAM mahu menggunakan pemain naturalisasi, itu sebenarnya sudah menunjukkan bahawa pelbagai program pembangunan yang sudah dilaksanakan selama berpuluh tahun ini tidak menunjukkan hasil memberangsangkan.

“Kegagalan program pembangunan inilah yang menjadi punca kita ketandusan pemain yang benar-benar berbakat dan mampu bersaing sehingga memaksa kita menggunakan pemain naturalisasi.

“Jadi, sebelum cadangan ini benar-benar akan diimplementasikan, saya harap kajian lebih mendalam dapat dilakukan dan FAM perlu mendapatkan pandangan pemegang taruh kerana cadangan ini akan membawa perubahan besar terhadap landskap bola sepak negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam masa sama, Zulakbal yang juga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu turut mempersoalkan kualiti pemain import yang mahu beraksi di negara ini sama ada mampu membantu meningkatkan kualiti bola sepak skuad kebangsaan ataupun sebaliknya.

“Jika berdasarkan ranking negara ini, saya berpendapat sukar untuk mendapatkan pemain yang bagus dan pemain yang rela beraksi bersama skuad kebangsaan.

“Kalau ada sekalipun, mungkin mereka tidaklah sebagus yang diharapkan dan apa membimbangkan adalah sekiranya kualiti mereka hanya setaraf dengan pemain tempatan,” katanya.

Sabtu lalu, badan induk itu mengumumkan mereka sedia mengkaji cadangan untuk membenarkan pemain naturalisasi mewakili skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

Perkembangan itu dimaklumkan presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengakui cadangan meneutralisasikan pemain luar dengan memberi kerakyatan negara ini dilihat menjadi alternatif terbaik untuk membantu memperbaiki kedudukan pasukan kebangsaan seperti yang dilakukan oleh Filipina.

Bagaimanapun, cadangan itu dibidas bekas pertahanan skuad kebangsaan, Datuk Santokh Singh yang nyata tidak bersetuju untuk menggunakan khidmat ‘harimau import’ sebagai alternatif untuk melonjakkan ranking bola sepak negara.

Katanya, pasukan kebangsaan perlulah dibarisi pemain lahir di negara ini dan bukanlah rakyat daripada luar yang diberikan kerakyatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 1:55 PM