Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak cadangan untuk menggunakan pemain naturalisasi jika ia benar-benar dapat membantu memartabatkan bola sepak negara dengan perkara itu turut disokong oleh Setiausaha Agung badan induk kebangsaan berkenaan, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Bagaimanapun, menggunakan kudrat pemain naturalisasi bukanlah ketetapan utama FAM sebaliknya mereka lebih berminat mendapatkan pemain yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia seperti Brendan Gan (Kelantan) dan Matthew Davies (Pahang).

Selain itu, Hamidin menegaskan program pembangunan lebih menjadi keutamaan namun berkata, FAM tidak berhasrat menolak mentah-mentah cadangan yang bangkitkan oleh pengendali Harimau Malaya Dollah Salleh untuk mempertimbangkan kemasukan pemain naturalisasi selepas tamatnya perlawanan persahabatan menentang Liverpool, Sabtu lalu.

“Perkara ini bukan satu keutamaan FAM tapi jika kerajaan membenarkannya, bagus juga. Namun jika dipraktikkan ia tidak akan membabitkan secara keseluruhannya program FAM kerana bagi kami, program pembangunan akar umbi masih lagi menjadi keutamaan.

“Naturalisasi hanya sebagai pilihan buat negara dan FAM menyokong pandangan itu. Banyak perkara perlu diperhalusi jika ingin dilaksanakan dan ia perlu di bawa ke mesyuarat exco terlebih dulu sebelum mendapat kebenaran daripada kerajaan,” katanya.

Aksi memberangsangkan barisan Pilihan Malaysia ketika bertemu Liverpool Sabtu lalu menyebabkan isu naturalisasi kembali dibangkitkan oleh Dollah.

Perkara itu turut disuarakan oleh Presiden FAM Tengku Abdullah Ahmad Shah musim lalu yang menyatakan bahawa badan induk kebangsaan itu tidak menutup pintu sepenuhnya kepada pemain import sekiranya mereka mampu mencetuskan kebangkitan skuad kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 8:18 AM