SYED Saddiq (kanan) bercakap pada sidang media perjanjian persefahaman (MoU) diantara BAM dan Ehime Japan di Akademi Badminton Malaysia. -Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.
SYED Saddiq (kanan) bercakap pada sidang media perjanjian persefahaman (MoU) diantara BAM dan Ehime Japan di Akademi Badminton Malaysia. -Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.
Jumiati Rosly

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi bayangan tidak setuju dengan cadangan untuk menyerap pemain naturalisasi ke dalam pasukan bola sepak kebangsaan dalam usaha meningkatkan prestasi dan memperkasakan pasukan itu.

Bercakap selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Badminton Ehime dari Jepun di Akademi Badminton Negara, di sini hari ini, sebaliknya beliau menegaskan anak watan yang sepatutnya mengangkat dan memartabatkan sukan nombor satu negara itu.

Sehubungan itu, katanya, perkara paling utama adalah untuk memberi penekanan kepada pembangunan di peringkat akar umbi supaya negara dapat melahirkan lebih ramai generasi pemain yang berbakat sekali gus mereka mampu menjulang Harimau Malaya.

“Mengenai usul untuk mengambil pemain naturalisasi, saya rasa perkara ini perlu diperhalusi kerana saya tekankan tidak ada jalan mudah untuk mencapai kejayaan.

“Pembangunan akar umbi sangat penting kerana kita mahu pemain Malaysia sendiri yang mengangkat dan memartabatkan bola sepak negara

“Jika tidak boleh lahirkan pemain muda yang berbakat, ia bermaksud pihak saya (Kementerian Belia dan Sukan) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah gagal,” katanya mengulas cadangan membawa masuk pemain asing yang diberi kewarganegaraan ke dalam skuad Harimau Malaya.

Terdahulu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini berkata pihaknya bercadang menyerapkan pemain yang mendapat kerakyatan secara naturalisasi dalam usaha untuk meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya.

Antara nama pemain naturalisasi yang harus sudah berada dalam senarai pengurusan skuad Harimau Malaya ketika ini sudah pastinya pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh.

Pemain berusia 23 tahun itu sudah mendapat taraf kerakyatan Malaysia April lalu dan memiliki rekod cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sejak membuat penampilan pertama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2013.

Sebelum ini, badan induk itu hanya memberi ‘lampu hijau’ kepada pemain berdarah campuran yang memiliki hubungan susur galur di Malaysia untuk beraksi bersama skuad kebangsaan dan antara pemain berdarah campuran yang sudah mewakili skuad kebangsaan ialah Matthew Davies (Pahang), Natxo Insa (Johor Darul Ta’zim), Brendan Gan (Perak) dan Khair Muhammad Jefri Jones (Melaka United)..

Sementara itu, Syed Saddiq menegaskan bersedia untuk bekerjasama dengan FAM dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang dikendalikan kementeriannya.

“Saya sempat jumpa Datuk Hamidin di Indonesia hari itu dan berbincang mengenai hala tuju bola sepak Malaysia. Saya juga ada minta pihak FAM untuk bentangkan pelan jangka pendek dan panjang mereka untuk kita cari titik pertemuan.

“Saya nak pastikan kita mampu bekerjasama sebaik mungkin dan pastikan bahawa pembangunan akar umbi dapat ditingkatkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 4:13 PM