LEGENDA bola sepak negara, Datuk James Wong. - Foto EDMUND SAMUNTING
LEGENDA bola sepak negara, Datuk James Wong. - Foto EDMUND SAMUNTING
Rodly Fadly


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengambil sikap ‘tepuk dada tanya selera’ dalam menentukan keperluan menggunakan khidmat pemain naturalisasi untuk skuad kebangsaan.

Legenda bola sepak negara, Datuk James Wong berpendapat walau apapun pendirian FAM mengenai isu ini, ia bergantung apa yang dimahukan oleh badan induk itu dalam menentukan hala tuju Harimau Malaya.

“Saya belum bersedia untuk mengulas panjang mengenai isu ini. Tapi sama ada menggunakan pemain naturalisasi atau sebaliknya, tetap mempunyai kebaikan serta keburukan.

“Cuma, saya boleh katakan, sebelum sesuatu keputusan dibuat, FAM perlu bertanya kepada diri sendiri apakah yang mereka mahukan untuk skuad kebangsaan, adakah mencapai keputusan segera dengan pemain naturalisasi atau terus bersabar dengan program pembangunan.

“Saya yakin badan induk itu lebih tahu apa yang terbaik untuk bola sepak negara, jadi biarlah mereka membuat keputusan,” kata bekas pemain yang masih dikenang sebagai wira selepas jaringannya ke atas Korea Selatan melayakkan Malaysia ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Isu penggunaan pemain naturalisasi untuk skuad kebangsaan kini menjadi topik hangat ekoran lambakan pemain berstatus berkenaan dalam Liga Malaysia. 

Setakat ini, 14 pemain kelahiran luar negara diberi kerakyatan kerana memiliki pertalian darah dengan rakyat negara ini.

Kehadiran pemain seperti Carbin Ong, Naxto Insa, Darren Lok (Johor Darul Ta’zim), Brendan Gan (Perak), Matthew Davies (Pahang), Curren Ferns, Stuart Wark (FELDA United), Khair Jones (Melaka United) dan ramai lagi sudah membawa impak positif kepada pasukan masing-masing.

Ia mencetuskan cadangan agar skuad kebangsaan menggunakan tenaga mereka kerana dilihat  mampu membangkitkan semula prestasi Harimau Malaya yang semakin merudum. 

Namun,  pihak yang membantah pula menganggap langkah itu sebagai tidak patriotik disebabkan pemain naturalisasi bukan ‘anak jati’ Malaysia.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Datuk Abdah Alif berkata, kita perlu berpijak di bumi nyata kerana dalam keadaan skuad negara yang makin lesu, satu langkah berani perlu dilakukan oleh FAM.

“Kalau pemain naturalisasi itu memang ada pertalian darah dengan negara kita serta layak mewakili skuad kebangsaan, mengapa tidak kita gunakan khidmat mereka. Apatah lagi jika mereka memang lebih bagus daripada pemain tempatan.

“Soal sejauh mana ‘semangat Malaysia’ dalam diri mereka bila bermain untuk negara, ia bergantung pada pemain itu sendiri. Matthew Davies dilahirkan serta dibesarkan di Australia tapi bila mewakili Malaysia dia bermain sepenuh hati,” ujar Abdah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 8:22 PM