NANI (kanan) berjaya raih emas dengan balingan 14.33m. 
NANI (kanan) berjaya raih emas dengan balingan 14.33m. 
Aida Adilah Mat


KUALA LUMPUR: Skuad olahraga negara menambah dua lagi kutipan emas pada hari kedua acara itu dipertandingkan di Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) ke-10 kali ini.

Berlangsung di trek Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, emas pertama pada sesi sebelah pagi disumbangkan oleh atlet baling tukul besi negara, Ng Ing Biao yang melakukan balingan emas dengan jarak 61.69 meter.

Kemampuan Ing Biao nyata sukar ditandingi apabila pemenang perak Pramoedya Sufallah dari Indonesia hanya mampu membuat balingan 52.10m dan gangsa milik seorang lagi atlet negara, Kee Jeep Wen 34.33m.

Ia memberi petanda positif terhadap perkembangan sukan itu apabila sudah ada pelapis yang boleh diharapkan selepas pemegang rekod kebangsaan Jackie Wong.

Sementara itu emas kedua negara pada sesi pagi disumbangkan oleh Nani Sahirah Maryata menerusi acara lontar peluru.

Nani yang dilatih bekas atlet negara yang juga pemenang pingat emas baling tukul besi Sukan Sea Korat 2007 Siti Shahida Abdullah, meraih emas dengan balingan 14.33m. 

Kejayaan itu berjaya mengubat kekecewaannya yang sebelum ini terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat dalam acara lempar cakera.

Dia menewaskan atlet Thailand, Thanapha Sriyongyos perak, 13.56m manakala gangsa milik atlet Ayu Fitriani 13.21m.

Bagi Shahida kejayaan anak didiknya itu satu yang menggembirakan apabila berjaya membuktikan kemampuan atlet negara.

Beliau kini sudah boleh menarik nafas lega selepas menyaksikan emas berjaya disumbangkan oleh Nani kepada Malaysia. 

Semalam barisan atlet olahraga menyumbangkan tiga emas menerusi Ing Biao dalam acara lempar cakera, Muhammad Ilham Suhaimi 400m dan kuartet 4x100m.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 2:00 PM