ADI ALIFFUDDIN HUSSIN
ADI ALIFFUDDIN HUSSIN
Aida Adilah Mat

 

 

KUALA LUMPUR: Atlet lontar peluru senior negara, Adi Aliffuddin Hussin masih lagi berbisa apabila cemerlang mengharumkan nama Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dengan menghadiahkan satu emas, satu perak dan satu gangsa Kejohanan Sukan Kakitangan Universiti-universiti Malaysia (SUKUM) ke-43.

Nyata kehebatan Adi sukar untuk ditandingi biarpun atlet kelahiran Terengganu itu tidak lagi bergelar atlet olahraga sepenuh masa.

Selain acara lontar peluru yang menjadi kepakarannya, Adi turut menyertai acara merejam lembing dan lempar cakera.

Justeru Adi mencabar atlet muda untuk bangkit mengisi kekosongan yang ditinggalkannya dalam acara lontar peluru yang semakin suram di kejohanan antarabangsa.

“Alhamdulillah. Biarpun sudah lama tidak berlatih secara konsisten dan lebih memberi fokus sebagai jurulatih, saya masih lagi mampu untuk membuat balingan emas,” kata Adi.

“Namun begitu saya sedikit kecewa kerana acara ini tiada pelapis yang boleh mencabar kemampuan saya dan juga atlet sedia ada sekarang ini iaitu Ziyad Zolkefli.”

Pada kejohanan itu Adi melakukan lontaran 14.15m untuk emas menewaskan atlet Universiti Putra Malaysia, Muhammad Malik Ahmad Tobias perak, 11.49m dan gangsa milik atlet Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Rizhan Rajmi 10.66m.

Sementara itu pasukan olahraga UNIMAP muncul juara keseluruhan SUKUM apabila meraih 13 pingat emas, empat perak dan enam gangsa.

Kejayaan itu membuktikan UNIMAP mengekalkan status kuasa olahraga universiti-universiti Malaysia untuk kali ke-11 berturut-turut sejak tahun 2008 dengan mengatasi pencabar terdekat Universiti Sains Malaysia yang meraih sembilan pingat emas.

Bagi acara olahraga, pingat emas UNIMAP disumbangkan oleh Nurhaslinda Md Hussin dalam 100 meter dan lompat jauh wanita senior, Mohd Idris Zakaria (400 meter lelaki senior), Azimah Sabu (80 meter, 1,500 meter dan 3,000 meter) serta kuartet 4x100 meter lelaki senior.

Turut menyumbangkan pingat emas adalah kuartet 4x400 meter wanita senior dan wanita veteran, Nurul Ashikin Josrie (lontar peluru wanita senior), Siti Fatimah Latif (lontar peluru wanita veteran), Rizhan Rajmi (merejam lembing lelaki senior) dan Mohd. Firdaus Jamen menerusi acara lempar cakera lelaki senior.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 1:46 AM