JURULATIH lempar cakera negara, Mohamad Ali Hamid.
JURULATIH lempar cakera negara, Mohamad Ali Hamid.
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Jurulatih lempar cakera negara, Mohamad Ali Hamid percaya sukan balingan seperti lempar cakera, lontar peluru dan baling tukul besi di Malaysia mampu berkembang seiring dengan sukan lain yang lebih terkenal.

Dia mengakui Malaysia sebenarnya mempunyai bakat dan potensi dalam arena sukan terbabit selain sudah mula menampakkan tanda positif terutama di peringkat akar umbi.

"Sebenarnya Malaysia ada bakat dalam sukan balingan ini. Cuma ia tak terkenal seperti acara pecut dan tumpuan kita lebih kepada sukan yang popular seperti bola sepak. Kadang-kadang ada rasa macam dipandang rendah, tetapi potensi untuk berkembang itu tetap ada.

"Sebagai contoh di kejohanan sukan negeri ada atlet yang berjaya membuat lontaran sejauh 17 meter (m). Jadi ia satu petanda yang baik dan bakat itu berjaya dibentuk," kata Mohamad Ali yang mula menceburi bidang kejurulatihan sejak 2002.

Beliau menegaskan, setiap jurulatih perlu menekankan soal penguasaan teknik sejak di peringkat awal lagi kerana ia adalah perkara utama dalam sukan teknikal seperti itu bagi membantu atlet terus berkembang.

Malah, dia mengakui Malaysia mempunyai ramai atlet yang berbakat dan latihan secara konsisten serta berkesan perlu terus dijalankan demi mencapai hasil di peringkat tertinggi.

"Untuk acara teknikal ini, apa yang penting adalah penguasaan teknik. Jurulatih di peringkat akar umbi perlu mengajar teknik yang betul sejak mula lagi. Kalau dari segi kekuatan pula ia boleh dibentuk kemudian.

"Sebenarnya, kita sudah ada atlet di tahap yang baik, cuma perlukan beberapa masa lagi untuk dapatkan pingat di peringkat tertinggi.

"Perkembangan itu ada, tapi kita perlu tingkatkan lagi. Kita perlukan ramai jurulatih yang mampu melatih teknik yang baik pada peringkat awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 8:54 PM