IRFAN memperagakan rekod kebangsaan miliknya.
IRFAN memperagakan rekod kebangsaan miliknya.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pingat emas acara lempar cakera lelaki pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) bagaikan hampir pasti berada dalam genggaman apabila atlet negara dalam acara itu Irfan Shamsuddin mencatat rekod baru kebangsaan.

Selepas Nauraj Singh Randhawa dan Jackie Wong masing-masing dalam acara lompat tinggi dan baling tukul besi mencipta rekod baru kebangsaan, Ifran muncul atlet ketiga memecahkan rekod, tiga bulan sebelum KL2017 bermula.

Irfan, 22, mencipta rekod baru dengan balingan sejauh 61.10 meter pada kejohanan Hallesch Werfertage di Halle, Jerman, kelmarin.

Catatan Irfan itu bagaimanapun menyaksikan dia sekadar meraih pingat gangsa apabila tewas kepada Clemens Prufer yang mewakili SC Potsdam, Jerman dengan catatan 62.29m dan perak dimenangi oleh Torben Brandt mewakili Sports Club Magdeburg, Jerman (62.09m).

Begitupun atlet berasal dari Negeri Sembilan itu muncul atlet pertama Asia Tenggara melakukan lontaran melebihi 60m.

Irfan yang juga pemenang pingat emas dua temasya Sukan SEA sebelum ini memadamkan rekod lama miliknya 59.29m yang dicipta 11 Jun tahun lalu pada kejohanan Slovak Clubs, Samorin, Slovakia.

Bagi ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas pencapaian Irfan sesuatu yang membanggakan menjelang KL2017.

“Belum ada lagi atlet Asia Tenggara yang berjaya melakukan balingan melebih 60m jadi apa yang dilakukan Irfan sesuatu yang membanggakan dan mencerahkan peluang negara meraih emas di KL2017,” katanya.

Pada kejohanan itu menyaksikan Irfan melakukan balingan pertama sejauh 59.05m, diikuti 58.71m, 57.58m, 61.10m, 57.50m dan 59.32m.

Dua tahun lalu di Singapura 2015, Irfan melakukan balingan emas dengan catatan 56.62m sekali gus memecahkan rekod temasya milik Wong Tuck Yim dari Singapura 59.50m pada Sukan SEA Brunei 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 11:18 AM