Usain Bolt akan bermain bolasepak dalam A-League. FOTO fail NSTP
Usain Bolt akan bermain bolasepak dalam A-League. FOTO fail NSTP
Agensi

 

LOUISVILLE, Amerika Syarikat: Tony Rallis, ejen pemenang lapan pingat emas Olimpik, Usain Bolt mengesahkan jaguh pecut dunia itu semakin hampir beraksi dalam saingan bola sepak A-League (Australia) selepas 'secara prinsipnya' mencapai persetujuan bersama Central Coast Mariners.

Beliau berkata, pelari pecut berusia 31 tahun itu sudah menetapkan untuk berkelana selama enam minggu di Australia yang bermula bulan depan dengan kontraknya boleh bertukar menjadi perjanjian jangka panjang.

"Perjanjian antara Mariners dan Usain Bolt secara prinsipnya sudah dipersetujui, tertakluk kepada beberapa perjanjian yang perlu dipenuhi," kata Rallis kepada stesen radio Big Sport Breakfast.

Bagaimanapun, Rallis berkata perjanjian itu bergantung sepenuhnya terhadap prestasi Bolt sepanjang enam minggu tempoh percubaan dan tajaan sokongan (Persekutuan Bolasepak Australia (FFA).

Di bawah peraturan A-League, kelab boleh menandatangani dua pemain 'bintang' dengan gajinya dibenarkan untuk lebih tinggi daripada apa yang ditetapkan.

"Dia akan mencipta impian baharu untuk pemain muda dan bakal memberi impak positif kepada A-League yang mana tidak boleh dibeli dengan wang. A-League memerlukan seorang wira dan kami sudah mendapatkan Superman."

Berita mengejutkan itu diumumkan hanya selepas menyaksikan kempen A-League musim ini mengalami kejatuhan mendadak dari segi kehadiran penyokong dan rating televisyen.

Difahamkan beberapa kelab dari Australia turut berminat untuk mendapatkan Bolt sebagai pemain percubaan, tetapi tawaran Mariners dilihat paling konkrit.

Bolt sebelum ini tanpa berselindung menyatakan hasrat untuk menjadi pemain bola sepak profesional dan sudah menjalani sesi percubaan bersama pasukan Bundesliga, Borussia Dortmund dan Stromsgodset (Norway) sejak bersara daripada arena olahraga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 1:22 PM