VICENTE DEL BOSQUE
VICENTE DEL BOSQUE
Agensi

MADRID: Bekas pengendali Sepanyol, Vicente del Bosque merasakan Usain Bolt akan menjadi ‘pemain bola sepak yang amat bagus’ tetapi beliau percaya legenda pecut Olimpik itu lebih sesuai beraksi di posisi pertahanan.

Bolt, 32, membuat kemunculan buat kelab A-League Australia, Central Coast Mariners pada 31 Ogos lalu sebagai pemain sayap.

Bagaimanapun, Del Bosque yang memenangi dua gelaran Liga Juara-Juara dan La Liga bersama Real Madrid sebelum membimbing Sepanyol, berkata kualiti dimiliki Bolt lebih sesuai di bahagian pertahanan.

“Dengan mengawal ruang yang kosong, dia akan menjadi pemain bola sepak yang amat bagus,” kata Del Bosque. “Dia pastinya akan lebih serasi dengan pasukan yang sering melakukan serangan kilat dan gemar melorongkan bola segera ke kawasan kosong.

“Dia boleh menjadi pertahanan tepi yang mengawasi semua ruang kosong, tetapi ia bergantung kepada situasi kerana menjadi pertahanan bukan saja mengenai soal anda mengawasi keseluruhan padang.

“Untuk melakukannya ia memerlukan banyak stamina yang mana saya pun tidak pasti sama dia mempunyainya atau tidak, walaupun dia mungkin sudah mempersiapkan diri untuknya.

“Tanpa ragu-ragu menjadi pertahanan yang kedudukannya paling hampir dengan sorakan penyokong dan dekat dengan garisan tepi, itulah menjadi posisi paling sesuai dengannya.”

Del Bosque tanpa ragu-ragu turut percaya Bolt mempunyai sikap yang betul untuk berjaya di Central Coast Mariners selepas menonton kelibat sulungnya menerusi video.

“Saya melihat seorang pemain yang optimistik,” kata jurulatih yang sudah bersara itu. “Seseorang yang akan digemari, dan yang sering mengukir senyuman seperti kanak-kanak sedang bermimpi.”  

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 10:21 AM