Reuters

SYDNEY: Usain Bolt yakin perlawanan ujian pada Jumaat ini akan menentukan masa depannya bersama Central Coast Mariners.

Bolt, 32, dijangka beraksi buat kali pertama secara kompetitif sejak tiba di kelab A-League itu pada Ogos lalu dengan harapan memulakan karier bola sepak profesional.

"Ia perlawanan besar dan saya fikir kelab akan membuat keputusan mengenai hala tuju karier saya,” kata Bolt mengenai perlawanan menentang pasukan pilihan Macarthur South West United.

Selepas beraksi sebagai pemain sayap ketika ujian awal kali pertama pada akhir Ogos lalu atlet pecut legenda itu memberi gambaran dia bakal bertukar posisi dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sydney Campbelltown.

Jurulatih Mike Mulvey memberi bayangan akan menurunkan Bolt malahan memberi tanggungjawab lebih besar dengan menugaskannya di bahagian hadapan.

Dengan Mulvey bakal menurunkan skuad terkuat, Bolt teruja menunjukkan kemampuannya.

"Dia mahu saya fokus dan bekerja keras dan saya pasti mengambil kesempatan ini sebaik mungkin,” katanya.

"Saya semakin baik sejak tiba di sini tetapi hanya boleh dibuktikan sehinggalah saya beraksi dalam perlawanan kompetitif.”

Mariners membuka tirai musim baru A-League dengan menentang Brisbane Roar pada Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 11:18 PM