VAN Marwijk akur dengan kelemahan pasukan di bahagian penyerang. FOTO/AFP
VAN Marwijk akur dengan kelemahan pasukan di bahagian penyerang. FOTO/AFP
Reuters

SOCHI: Pengendali Australia, Bert van Marwijk mengakui pasukannya terpaksa membayar harga mahal akibat kekurangan penyerang berkelas dunia selepas tewas 0-2 di tangan Peru sekali gus tersingkir daripada saingan Piala Dunia.

“Anda boleh lihat pasukan ini mengalami kesukaran menjaringkan gol di tahap ini,” kata pengendali dari Belanda itu selepas perlawanan.

Australia bermain baik dalam sebahagian besar aksi berdepan Peru tetapi gagal membalas gol yang dijaringkan pada setiap babak oleh Andre Carrillo dan Paolo Guerrero.

Aksi terpuji juga disajikan The Socceroos ketika tumbang 1-2 kepada Perancis serta terikat 1-1 dengan Denmark dan satu-satunya gol mereka pada edisi kali ini terhasil menerusi sepakan penalti Mile Jedinak.

“Dalam semua tiga perlawanan, kami tidak mampu membawa perbezaan di depan gol dan ini menjadi satu-satunya ramuan yang tidak dimiliki pasukan di tahap tertinggi ini.

“Apabila melihat statistik saya amat kasihan terhadap pasukan ini, saya tidak tahu angka sebenar, tetapi saya merasakan kami menguasai bola lebih 60 peratus.

“Saya juga fikir kami mempunyai lebih banyak peluang terhidang dan percubaan tepat ke gawang.”

Denmark mara daripada Kumpulan C bersama Perancis walaupun kedua-dua pasukan seri 0-0 di Moscow.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 11:26 AM