JEDINAK (tengah) menjaringkan gol penyamaan Australia. FOTO/AFP
JEDINAK (tengah) menjaringkan gol penyamaan Australia. FOTO/AFP
Agensi

Samara: Denmark gagal meneruskan rentak kemenangan selepas sekadar berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 ketika bertemu Australia pada perlawanan kedua Kumpulan C, hari ini.

Keputusan itu juga kembali membuka ruang kepada Australia yang tewas 1-2 kepada Perancis pada perlawanan pertama.

Denmark yang meraih tiga mata penuh ketika menang tipis 1-0 ke atas Peru pada perlawanan pertama terlebih dahulu di depan seawal minit ke-7 selepas Christian Eriksen menerima hantaran penyerang, Nicolai Jorgensen sebelum merembat deras menerusi kaki kiri menewaskan penjaga gol Australia, Mathew Ryan.

Tersentak dengan jaringan awal itu, Australia memperkemaskan rentak dengan dilihat lebih menonjol menguasai permainan berbanding Denmark pada perlawanan yang berlangsung di Samara Arena itu.

Usaha mereka itu membuahkan hasil apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Yussuf Poulsen sebelum kapten pasukan Australia, Mile Jedinak tenang menyempurnakannya pada minit ke-38.

Bersambung separuh masa kedua, kedua-dua pasukan menggandakan asakan namun masih buntu untuk kembali di depan sebelum terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 10:41 PM