GUERRERO harap rayuan kepada CAS dapat dipertimbangkan. FOTO/AFP
GUERRERO harap rayuan kepada CAS dapat dipertimbangkan. FOTO/AFP
AFP

LIMA: Dari pergunungan Andes ke belantara Amazon, Peru bersemangat untuk menyertai Piala Dunia biarpun tanpa pemain bintang, Paolo Guerrero.

Biarpun kehilangan kapten mereka yang berdepan penggantungan kontroversi akibat doping, jurulatih dan bekas pemain Argentina Ricardo Gareca yakin mereka mampu mencetus impak selepas layak buat kali pertama dalam tempoh 36 tahun.

“Apa saja halangan yang kami hadapi, kami akan selesaikan di dalam dan luar padang,” kata pengurus itu yang menjadi wira rakyat Peru.

Mereka memulakan kempen menentang Denmark pada 16 Jun di Saransk, disusuli pertembungan dengan pasukan gergasi, Perancis pada 21 Jun di Yekaterinburg.

Melengkapkan aksi Kumpulan C adalah pertemuan dengan Australia di Sochi pada 26 Jun.

Guerrero, 34, diuji positif unsur kokain di dalam tubuhnya selepas perlawanan kelayakan Piala Dunia di antara Peru dan Bolivia pada 5 Oktober.

Pemain itu pada mulanya digantung setahun dan kemudiannya dikurangkan kepada enam bulan selepas merayu Disember lalu.

Penggantungan itu berakhir 3 Mei lalu, sekali gus membolehkan Guerrero bertanding untuk Piala Dunia di Russia, 14 Jun hingga 15 Julai ini.

Namun kapten Peru itu mahu penggantungan berkenaan dibatalkan dan menghadap Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) berpangkalan di Switzerland dua minggu lalu dengan ditemani peguam.

Agensi Anti Doping Dunia (WADA) membalasnya, merayu kepada CAS untuk mengekalkan hukukan awal dan mereka membalasnya dengan menambah tempoh penggantungan Guerrero.

Pemain itu dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Peru, Edwin Oviedo kemudiannya bertemu Presiden FIFA, Gianni Infantino di Zurich namun kemudian kenyataan daripada badan induk sukan itu menyatakan mereka tiada kuasa untuk mengubah keputusan CAS.

Harapan terakhirnya kini terletak kepada Mahkamah Persekutuan Switzerland, mahkamah tertinggi negara itu di mana dia membuat rayuan pada 25 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 11:38 AM