JULIETH (kiri) ketika kejadian dicium penyokong Russia. -Foto Agensi
JULIETH (kiri) ketika kejadian dicium penyokong Russia. -Foto Agensi
AFP

BERLIN: Seorang penyokong Russia memohon maaf selepas meraba dan mencium wartawan penyiaran sebuah syarikat televisyen Jerman dalam satu segmen yang disiarkan secara langsung.

“Saya memohon maaf kepada anda,” katanya kepada wartawan dari Colombia, Julieth Gonzalez Theran menerusi satu panggilan video yang disiarkan oleh penyiar rasmi, Deutsche Welle. 

“Saya bersikap cuai dan tidak pernah terfikir akan menyebabkan anda keliru dan terkejut,” kata penyokong itu yang enggan mendedahkan namanya.

Theran sedang membuat laporan dari bandar Saransk sebelum tiba-tiba datang seorang lelaki memeluk dan memegang buah dada serta mencium pipinya.

Tindakannya itu mencetuskan isu kritikan gangguan seksual oleh sebuah penyiar dari Jerman sebelum ia menjadi viral.

Lelaki itu berkata, dia bertaruh dengan rakannya dia akan mencium pipi wartawan itu dan sengaja menunggu untuk melakukannya ketika siaran secara langsung.

Pada mulanya dia merasakan kedua-dua tangannya memegang bahu wartawan itu, namun salah satu daripadanya tersasar memegang buah dada wartawan berkenaan.

Theran berkata, dia menghargai permohonan maaf daripada lelaki berkenaan dan mahu segera melupakan peristiwa itu.

“Saya tidak mahu dilabel menjadi mangsa. Saya hanya mahu meneruskan kerja saya,” katanya.  

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 7:12 PM