YORGEY (rakaman video kanan) ketika dilanggar. FOTO WSAZ-TV
YORGEY (rakaman video kanan) ketika dilanggar. FOTO WSAZ-TV
Agensi

Washington: Wartawan Virginia barat, Amerika Syarikat bernasib baik apabila terselamat daripada kecelakaan selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika bertugas membuat siaran langsung.

Malah, Tori Yorgey dipuji profesional dalam tugasnya apabila bangun dan masih meneruskan penyampaian laporan berita dan membetulkan kedudukannya di depan kamera sebaik dilanggar.

Ketika kejadian, wartawan dari WSAZ-TV itu membuat siaran langsung di lokasi kawasan laluan air melimpah dan licin disebabkan cuaca sejuk di Dunbar.

"Oh Tuhan. Saya baru sahaja dilanggar kereta, tetapi saya okay," katanya ketika bangun semula.

Pemandu kenderaan itu kedengaran berhenti dan memeriksa keadaan Yorgey sebelum meminta maaf kerana tidak sengaja melanggarnya.

Walaupun ramai di media sosial memuji keupayaan Yorgey untuk bertenang dan meneruskan laporan penyiarannya, insiden itu menyerlahkan risiko yang boleh dihadapi wartawan semasa melakukan tugas mereka.

Kejadian berkenaan juga menjadi pengajaran berguna wartawan itu yang bakal menamatkan tugasnya bersama WSAZ-TV sebelum dijadualkan memulakan khidmatnya di Pittsburgh's WTAE-TV, Februari ini.

"Tahu tak ini minggu terakhir saya bertugas dan kejadian ini berlaku," katanya kepada rakan penyampai di studio, Tim Irr.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 11:31 AM