PEMAIN JDT, Gabriel Guerra ketika sessi latihan. FOTO/FAIL
PEMAIN JDT, Gabriel Guerra ketika sessi latihan. FOTO/FAIL
Rizar Mohd Noor


PENGUASAAN barisan tengah adalah kunci utama JDT untuk menjinakan Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, dalam perlawanan Liga Super, malam esok.

Pengendali skuad Harimau Selatan, Raul Longhi berkata, walaupun sedar tentangan hebat yang bakal dihadapi mereka apabila berkunjung ke laman lawan, pihaknya tetap yakin dengan kemampuan pemain sendiri.

“Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap menyasarkan tiga mata dalam perlawanan malam esok walaupun tidak dinafikan sukar untuk menjinakkan skuad Tok Gajah terutama di laman mereka sendiri.

“Saya pasti corak permainan mereka berbeza berbanding ketika tewas 0-1 kepada kami (JDT), Jumaat lalu.

“Apa yang penting, pemain perlu beraksi seperti biasa, kekal fokus dan mengikut taktikal yang dirangka khas bagi menjinakan pasukan lawan yang sudah pasti akan melakukan pelbagai helah termasuk provokasi untuk menjejaskan rentak permainan,” katanya.

Menurutnya, tatkala saingan liga semakin hampir ke penghujungnya semua pasukan terutama pemain kelompok teratas sudah pasti akan beraksi bersungguh-sungguh untuk mengumpul tiga mata berharga.

“Kami masih membuat persiapan rapi kerana mahukan kemenangan, jika menang dapat menjarakkan mata dengan Perak dan Pahang namun mereka pula mahu merapatkan kedudukan.

“Berikutan itu, kami perlu bersedia dengan corak permainan taktikal yang lebih ampuh memandangkan ia perlawanan sukar dan saya jangka Pahang akan lakukan apa sahaja untuk menidakkan usaha kami memburu kemenangan,” katanya.

Longhi juga menuntut benteng pertahanan fokus sepanjang perlawanan walaupun ketika ini berpuas hati dengan komitmen Marcos Antoni, Aidil Zafuan Abd Rafzak dan Fadhli Shas yang membentuk persefahaman mantap apabila diturunkan dalam saingan liga.

Beliau juga mengesahkan tiada pemain JDT yang digantung dan tidak berdepan masalah untuk menyenaraikan kesebelasan terbaik dalam perlawanan itu.

“Kami kena waspada taktikal Pahang kerana saya tahu Dollah (Salleh) akan ubah corak permainan dan mereka akan beri tekanan kepada kami. Namun kami akan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan momentum kemenangan.

“Barisan tengah JDT akan memainkan peranan penting bagi menjana gerakan dan mahu pemain yang diturunkan lebih kreatif bukan sahaja menjadi nadi utama di posisi tengah dan merangka serangan malah perlu menyekat bahagian tengah Pahang,” kata Longhi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 12:10 PM