PEMAIN Pulau Pinang, Jasazrin Jamaludin (kanan) akui skuad Harimau Kumbang ketiadaan penyerang tulen. FOTO Luqman Hakim Zubir
PEMAIN Pulau Pinang, Jasazrin Jamaludin (kanan) akui skuad Harimau Kumbang ketiadaan penyerang tulen. FOTO Luqman Hakim Zubir
Rodly Fadly


KETIADAAN penyerang berbisa menjadi punca utama Pulau Pinang kini berada dalam zon penyingkiran serta bergelut untuk kekal dalam Liga Perdana.

Pemain tengah, Jasazrin Jamaluddin berkata, ketandusan jaringan dialami Harimau Kumbang sangat ketara apabila hanya mampu menjaringkan 12 gol daripada 13 perlawanan diharungi setakat ini.

Ia jelas memberi kesan kepada skuad kendalian Zainal Abidin Hassan yang hanya melakar tiga kemenangan sambil seri tiga kali dan kalah tujuh perlawanan untuk meletakkan mereka di tangga ke-10 dengan 12 mata.

“Dalam bola sepak, untuk menang, kena jaringkan gol tapi inilah masalah Pulau Pinang musim ini. Kami tidak mempunyai seorang penyerang tulen yang mampu menjaringkan gol secara konsisten.

“Dulu, kami harapkan Ken (Ilso Larsen) tapi dia pula kerap mengalami kecederaan. Keadaan menjadi lebih parah bila dia angkat kaki, meninggalkan pasukan ini.

“Kini kami bergantung penuh kepada penyerang tempatan sambil dibantu dua import, Kang Seung Jo dan Sanna Nyassi. Ia memang sesuatu yang sukar,” katanya.

Namun, menurut Jasazrin, baik jurulatih mahupun pemain sedang mencari formula untuk mengatasi masalah ini sebagai usaha untuk mengelak pasukan itu daripada tersingkir ke Liga FAM musim depan.

Malah, dia yakin, dengan baki sembilan perlawanan, belum terlambat bagi Pulau Pinang mengumpul mata mencukupi untuk kekal beraksi dalam Liga Perdana.

Apatah lagi, jurang mata dengan dua pasukan di atas mereka, UITM (15) dan Sarawak (16) tidak besar sambil Pulau Pinang mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 1:44 PM