PEMAIN TFC II, Muhamad Fakhrurazi Musa (tengah) menendang bola dihadapan pintu gol  Pulau Pinang pada aksi perlawanan  Liga Perdana  di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. -Foto GHAZALI KORI
PEMAIN TFC II, Muhamad Fakhrurazi Musa (tengah) menendang bola dihadapan pintu gol Pulau Pinang pada aksi perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. -Foto GHAZALI KORI
Faizul Azlan Razak

KETUA jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan mengakui pasukan bimbingannya kini berada dalam situasi ‘cemas’ selepas terikat 1-1 dengan Terengganu FC II (TFCII) dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Pengendali berusia 56 tahun itu berkata, pasukannya tidak ada pilihan selain perlu mengutip mata dalam baki perlawanan untuk terus kekal bersaing dalam Liga Perdana.

“Saya cukup kecewa malam ini (malam tadi), sepatutnya kami membawa pulang tiga mata penuh namun kesilapan minit terakhir permainan satu kerugian besar buat pasukan.

“Pemain saya bekerja kuat untuk perlawanan ini, namun sedikit kelalaian di benteng pertahanan yang menghadiahkan sepakan penalti kepada pihak lawan pada minit terakhir permainan memusnahkan harapan kita mengutip tiga mata penuh,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada 45 minit pertama sebelum Pulau Pinang menjaringkan gol menerusi Mohd Raimi Md Nor pada minit ke-51.

Namun, hajat skuad jolokan Harimau Kumbang membawa pulang tiga mata penuh berkecai apabila TFCII menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Akanni Sunday Wasiu selepas dia dijatuhkan kapten pasukan, Ugochukwu Ukah minit pada minit ke-90.

Zainal Abidin berkata, pasukannya memiliki beberapa peluang menjaringkan gol namun barisan depan gagal menterjemahkan peluang itu dengan bijak.

Katanya, pihaknya kini sedang berusaha mendapatkan seorang penyerang bagi memperkasakan jentera serangan sebelum jendela perpindahan kedua ditutup.

“Dalam situasi pasukan sekarang, kita begitu terdesak untuk mengutip mata dalam setiap perlawanan dan saya berharap penyerang baharu dapat dibawa masuk untuk mempertajamkan jentera serangan pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 11:08 AM