KETUA jurulatih Pahang, Dollah Salleh (tengah) meraikan kemenangan bersama pemainnya selepas menewaskan PKNP FC 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Perak. FOTO Abdullah Yusof
KETUA jurulatih Pahang, Dollah Salleh (tengah) meraikan kemenangan bersama pemainnya selepas menewaskan PKNP FC 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Perak. FOTO Abdullah Yusof
Azizan Hashim


PAHANG sudah mendapat kembali rentak asalnya dan keyakinan itu disuarakan pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh selepas menyaksikan anak didiknya menang 2-1 ke atas Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC  di Stadium Perak, malam tadi.

“Daripada segi pegangan bola dan corak permainan, pemain sudah mendapat sentuhan lama mereka.

“Cuma penyudah masih agak tumpul dan ia menjadi penghalang kepada kami untuk mencapai kejayaan lebih besar,” katanya.

Tok Gajah terpaksa menunggu selama 73 minit sebelum memecah kebuntuan melalui Mamadou Sumareh diikuti jaringan kemenangan Mohd Faizal Abdul Halim di masa kecederaan.

“Melihat ketumpulan jentera serangan, saya memasukkan Sumareh dan Faizal pada separuh kedua dan lega kerana percaturan itu berkesan apabila mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan dan kemenangan.

“Saya gembira dengan kejayaan ini kerana bertemu PKNP FC memang tidak pernah mudah. Jurulatihnya Abu Bakar Fadzim juga ternyata memiliki banyak helah.

“Apapun anak buah saya membuktikan bahawa mereka sudah kembali di landasan betul,” tambahnya.

Pada perlawanan malam tadi, Pahang dikejutkan menerusi gol awal tuan rumah pada minit ke-2 hasil jaringan Ritus Krjauklis.

“Kelekaan di awal permainan menyebabkan kami dihukum tetapi selepas itu kami menguasai permainan dan mencipta banyak peluang cuma tiada penyudah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 9:34 PM