EZANIE (kiri) terpaksa diketepikan akibat kecederaan. -Foto fail
EZANIE (kiri) terpaksa diketepikan akibat kecederaan. -Foto fail
Azizan Hashim


PERBADANAN Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC akan turun melayan kunjungan Pahang dalam saingan Liga Super, di Stadium Perak, malam ini tanpa khidmat Mohd Hafiz Ramdan dan Mohamad Ezanie Mat Salleh.

Kedua-dua pemain yang menjadi tonggak pasukan itu terpaksa disisihkan susulan mengalami kecederaan.

Ketiadaan Hafiz Ramdan atau lebih dikenali sebagai Kancil dalam kalangan kenalan dan peminat merencatkan perancangan pengendali, Abu Bakar Fadzim.

“Hafiz cedera ketika perlawanan menentang Perak baru-baru ini. Ketiadaannya pasti dirasakan kerana dia banyak membantu menghasilkan gol selain sudah menyumbang lima gol untuk PKNP FC.

“Bagaimanapun kami ada pemain bagi menggantikan kekosongan itu nanti,” katanya.

Justeru, Abu Bakar berkata, siapa juga diturunkan diharap mampu menggalas tugas dan tanggungjawab besar untuk menggempur anak buah Dollah Salleh.

“Ini peluang pemain lain membuktikan kemampuan mereka. Jadi rebutlah peluang terbaik ini,” katanya.

Abu Bakar bagaimanapun sedar tugas berat dihadapi anak buahnya kerana bertemu pasukan yang menduduki tangga ketiga liga setakat ini.

“Perlawanan ini pastinya tidak mudah kerana Pahang bukan calang-calang pasukan. Kami perlu mengamalkan corak pantas serta tidak memberi ruang kepada lawan bertindak,” katanya.

Jurulatih itu berharap dua import baharu iaitu penyerang, Karl Max Dany dari Chad dan pertahanan, Kim Sang Woo, (Korea Selatan) mampu memberi sumbangan berkesan sambil mewujudkan gandingan mantap dengan Franklin Clovis Anzete dan Ritus Krjauklis.

Abu Bakar yakin pemainnya mampu memberi kejutan kepada pelawat dalam usaha mengutip mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan dalam Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 10:49 AM