PEMAIN Kuala Lumpur, Junio Aparecido (tengah) diasak pemain PKNP FC di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang. FOTO/RAMDZAN MASIAM
PEMAIN Kuala Lumpur, Junio Aparecido (tengah) diasak pemain PKNP FC di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang. FOTO/RAMDZAN MASIAM
Rudy Syareme Sheriffudin


PERBADANAN Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC bagai mendapat ‘tonik’ ketika membenam Kuala Lumpur 2-1 dalam saingan Liga Super 2018 di Stadium Negeri, semalam.

Misi bawa pulang tiga mata yang diidamkan Ketua Jurulatih, Abu Bakar Fadzim untuk memastikan kedudukan PKNP FC untuk melonjak naik dari zon bahaya akhirnya dicapai.

Abu Bakar berkata, selepas tewas dua kali dan menang sekali, kredibiliti pemain-pemain berada dalam keadaan tertekan untuk memastikan PKNP FC tidak mengulangi kesilapan dan tewas lagi.

Katanya, strategi dan pergerakan setiap pemain lawan dikawal rapi akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mengekang serangan lawan tanpa sebarang gol pada babak pertama.

“Kebangkitan pada separuh masa kedua membuktikan semangat juang yang tinggi pasukan PKNP FC apabila berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh kurang 10 minit.

“Gol sulung PKNP FC dijaringkan pemain pertahanan, Ritus Krjauklis pada minit ke-65 apabila menerima hantaran cantik hasil sepakan sudut Mohamad Ezanie Mat Salleh dan tandukan tajam Ritus terus menerjah masuk ke dalam gawang gol Kuala Lumpur,” katanya.

Abu Bakar berkata, gol pertama memberi satu suntikan semangat buat mereka untuk memburu gol kedua dan akhirnya berjaya pada minit ke-79 oleh Mohd Irwan Syazmin Wahab.

“Dakapan kurang kemas penjaga gol Kuala Lumpur, Kamarul Effandi hingga membolosi celah kaki hasil sepakan Mohd Irwan terus menambah derita buat pasukan lawan biarpun tidak dinafikan mereka terus mengasak kubu PKNP FC tanpa henti.

“Kita akui dua gol itu memberikan satu faktor kelemahan buat Kuala Lumpur mencari gol namun kesilapan G Gunasegaran akhirnya menghadiahkan gol sagu hati buat mereka pada minit ke-81.

“Kita akan melakukan ‘bedah siasat’ selepas ini untuk memperbaiki kesilapan yang dilakukan namun percaya pemain sudah memberikan persembahan yang terbaik untuk PKNP FC capai kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 12:37 PM