RITUS Krjaukls (kanan) meraikan gol jaringannya ketika menentang Kuala Lumpur pada aksi Liga Super 2018 di Stadium Negeri Batu Kawan, sebentar tadi. - FOTO RAMDZAN MASIAM
RITUS Krjaukls (kanan) meraikan gol jaringannya ketika menentang Kuala Lumpur pada aksi Liga Super 2018 di Stadium Negeri Batu Kawan, sebentar tadi. - FOTO RAMDZAN MASIAM
Rudy Syareme Sheriffudin 


PEMBURUAN tiga mata penuh yang dicari Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC dalam kempen Liga Super berjaya direalisasikan apabila menewaskan Kuala Lumpur (KL) 2-1 di Stadium Negeri di sini, petang tadi.

Ia sekali gus menjadi kemenangan kedua yang dilakar PKNP selepas sekali menang dan tewas dua kali berturut-turut daripada empat perlawanan setakat ini.

Buntu tanpa sebarang jaringan pada babak pertama, PKNP membuka tirai jaringan menerusi pemain pertahanan, Ritus Krjauklis pada minit ke-64 yang menanduk masuk hantaran cantik hasil sepakan sudut Mohamad Ezanie Mat Salleh.

Tersentak gol pertama PKNP, pelawat yang tampak bagai hilang arah di awal permainan berjaya mengawal rentak dan menghasilkan serangan bertali arus ke gawang gol lawan namun gagal mencipta jaringan.

Dakapan kurang kemas penjaga gol KL, Kamarul Effandi untuk mengekang rembatan kencang Mohd Irwan Syazmin Wahab yang menerima hantaran cantik Yeon Gi Sung menambah derita buat anak buah Fabio Joaqium apabila PKNP menjaringkan gol kedua pada minit ke-79.

Gol sagu hati KL diperoleh pada minit ke-81 apabila pemain PKNP, G Gunasegaran menjaringkan gol ke gawangnya sendiri yang dikawal Tian Keat See.

Jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim berkata kemenangan itu cukup bermakna kerana usaha gigih skuad kendaliannya akhirnya berbuah hasil walaupun diasak teruk KL.

“Selepas tewas untuk dua minggu berturut-turut, di mana pastinya kekalahan itu tidak seharusnya diulangi, peluang keemasan yang diperoleh seharusnya tidak dilepaskan begitu saja dengan mudah.

“Tiga mata penuh yang dicari akhirnya berjaya melonjak PKNP FC keluar dari zon bahaya dan segala peluang dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memastikan kemenangan menjadi milik kami pada hari ini,” katanya.

Kekalahan dalam pada itu menyaksikan KL kekal di tangga tercorot liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 8:24 PM