PKNP FC (jersi jingga) harap dapat beraksi di Stadium Perak ketika menentang Terengganu. -Foto fail
PKNP FC (jersi jingga) harap dapat beraksi di Stadium Perak ketika menentang Terengganu. -Foto fail
Oleh Azizan Hashim

PERBADANAN Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC berharap pasukan itu dapat bermain perlawanan terakhir Liga Perdana 2017 menentang Terengganu pada 27 Oktober ini di Stadium Perak.

Ini berikutan stadium itu dikatakan akan ditutup Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk kerja-kerja baik pulih dan naik taraf selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dengan Johor Darul Ta’zim (JDT), 15 Oktober ini.

Stadium Perak akan menjadi gelanggang olahraga serta majlis perasmian serta penutup ketika Perak menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 nanti.

Jika benar stadium berkenaan akan ditutup, pasukan itu sekali lagi terpaksa bermain di luar seperti berlaku untuk perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang FELDA United FC pada 24 September lalu.

MBI tidak membenarkan perlawanan diadakan dua hari berturut-turut kerana bimbang padang rosak kerana Perak juga terbabit bertemu Pahang dalam satu lagi suku akhir di stadium itu. Berikutan itu PKNP FC terpaksa bermain di Stadium Shah Alam dengan FELDA United menang 4-1 untuk mara dengan agregat 5-4.

“Ini perlawanan terakhir kami musim ini. Biarlah kami bermain di kandang sendiri agar dapat sokongan padu penyokong kami terutama keluarga pemain. Perlawanan ini penting buat kami kerana akan menentukan kedudukan kami di akhir saingan.

“Kami sedang bersaing untuk tempat ketiga - pencapaian terbaik dalam penampilan pertama dalam Liga Perdana. Selepas gagal ke separuh akhir Piala Malaysia, ini saja yang tinggal untuk kami perjuangkan,” kata ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim.

Menurut Abu Bakar, PKNP juga sudah lama terpaksa bermain di luar Ipoh akibat penutupan Stadium Perak kerana kerja membaiki permukaan padang.

Ia menyaksikan PKNP FC berkelana ke Stadium Proton City, Tanjong Malim, Stadium Batu Kawan dan Stadium Shah Alam.

“Memang ada kesan jika beraksi di gelanggang lain walaupun kami sebagai tuan rumah. Pemain tetap tidak selesa berbanding jika perlawanan diadakan di Ipoh,” katanya.

Justeru Abu Bakar berharap MBI dapat mempertimbangkan rayuan itu namun tetap akan akur dengan apa juga keputusan pihak berkuasa itu dan yakin pengurusan tertinggi pasukan sedang berusaha menyelesaikan masalah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 11:31 AM