PEMAIN Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid (dua dari kiri) diasak pemain Negeri Sembilan, Mohd Fauzan Mohd Fauzi pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. FOTO Hazreen Mohamad
PEMAIN Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid (dua dari kiri) diasak pemain Negeri Sembilan, Mohd Fauzan Mohd Fauzi pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. FOTO Hazreen Mohamad
Mohd Amin Jalil


KETUA jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff mengakui lega selepas pasukan itu kembali mendapat rentak kemenangan apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada saingan Liga Super di Paroi, malam tadi.

Katanya, selepas tiga kali seri ketika menentang Terengganu dan Pahang di tempat lawan dan Negeri Sembilan di gelanggang sendiri, kini Kedah kembali meraih kemenangan yang begitu bermakna.

“Memang kegagalan kami meraih kemenangan dalam tiga perlawanan sebelum ini merugikan apatah lagi di tempat sendiri.

“Kini, saya rasa bersyukur dan tahniah kepada pemain yang begitu berusaha untuk mencatat kemenangan. Walaupun saya tidak dapat menurunkan kesebelasan utama malam ini (malam tadi) kerana beberapa pemain kurang cergas, tapi pemain dapat memberikan persembahan terbaik dan menjaringkan gol.

“Gandingan Khairul Helmi (Johari) dan Syawal (Nordin) di benteng pertahanan nyata tidak mengecewakan apabila mereka mengekang asakan jentera serangan Negeri Sembilan.

“Walaupun pada babak kedua pemain saya dilihat sedikit tertekan tapi akhirnya mereka berjaya mendapatkan tiga mata sekali gus menebus kekecewaan selepas seri 3-3 di Alor Setar pada 1 Mei lalu,” katanya selepas perlawanan malam tadi.

Liridon Krasniqi dan Akhyar Rashid menjaringkan gol buat skuad Helang Merah pada minit ketujuh dan 15, sekali gus meletakkan pasukan itu di tangga keenam dengan mengumpul 15 mata.

Negeri Sembilan mendapat gol sagu hati menerusi Flavio Beck Junior pada minit ke-74 namun ia tidak dapat mengubah kedudukan skuad Hobin Jang Hobin di tangga tercorot dengan lima mata.

Sementara itu, Nidzam mengesahkan Kedah hampir pasti mendapatkan khidmat bekas pemain Selangor, Paulo Rangel bagi menggantikan Pablo Pallares selepas pemain Sepanyol itu gagal menyerlah.

“Seperti yang diuar-uarkan sememangnya Kedah akan mendapatkan khidmat Rangel dan pemain itu dijangka dapat diturunkan menjelang perlawanan akan datang iaitu menentang Pahang di laman sendiri,” katanya.

Rangel pernah beraksi dengan Perak (2013), Selangor (2013–2014), Terengganu (2014–2015), JDT II (2016), sebelum kembali ke Thailand untuk menyertai kelab Nakhon Ratchasima.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 12:49 PM