PEMAIN Negeri Sembilan, Hein Htet Aung (kanan) diasak pemain Perak, Muhammad Farris Izdiham (kiri) pada perlawanan Liga Super di antara Negeri Sembilan FC menentang Perak FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO AZRUL EDHAM
PEMAIN Negeri Sembilan, Hein Htet Aung (kanan) diasak pemain Perak, Muhammad Farris Izdiham (kiri) pada perlawanan Liga Super di antara Negeri Sembilan FC menentang Perak FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Sepatutnya kita (NSFC) tidak boleh kalah perlawanan malam ini," kata ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K Devan, selepas pasukannya kecundang kepada Perak FC, 1-0, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Menurut pengendali berpengalaman itu berkata, anak buahnya menguasai perlawanan dan mempamerkan persembahan bertenaga sepanjang tempoh 90 minit dengan melakukan banyak percubaan ke arah gol lawan tetapi ketumpulan penyudah mengagalkan pasukannya untuk meraih mata.

"Lihat saja penjaga gol Perak (Muhammad Farhan Abdul Majid) bertungkus lumus mengawal gawang dan pemain saya pula berjaya mencipta banyak peluang jaringan, tapi gagal menjaringkan gol. Itu perbezaan perlawanan hari ini (malam tadi).

"Kita membuat serangan balas yang baik. Semua pemain tempatan yang kita turunkan terutama pada sebahagian separuh kedua beraksi baik.

"Namun, dengan sedikit kesilapan dan kelekaaan di bahagian pertahanan membuatkan gawang kita dibolosi," kata Devan kepada media selepas perlawanan malam tadi.

Pemain import berasal dari Yugoslavia, Luka Milunovic meledak gol tunggal Perak pada minit ke-50, untuk membantu pasukan itu meraih tiga mata.

Devan akui kecewa dengan keputusan itu ketika beliau mengharapkan skuad Hobin Jang Hobin dapat meraih kemenangan dalam liga selepas kali terakhir pasukannya mencatat kemenangan ke atas PDRM FC, 2-1, pada 18 Mei lalu.

"Dari segi persembahan malam ini tidak menunjukkan kualiti pasukan Negeri Sembilan menurun, walaupun kita ada kekurangan dari segi pemain import di atas padang, cuma kita gagal menjaringkan gol," katanya.

Pengendali kelahiran Bahau itu akui tugasnya semakin berliku dalam mendepani cabaran baki empat perlawanan liga musim ini jika mengambil kira keputusan aksi berkenaan.

"Sebagai jurulatih memang kita tidak mahu kalah, lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri, ini luar kawalan saya kerana hanya boleh tunjuk ajar kepada pemain.

"Apapun saya akan meneruskan tugas sebagai seorang profesional dan mengharapkan pemain berikan kerjasama baik dengan saya untuk menghabiskan musim ini, kalau ada perubahan positif (dari segi pengurusan) mungkin kita boleh mengubah suasana dalam pasukan.

"Saya mengharapkan kita dapat menghabiskan liga dengan keputusan yang baik," katanya.

Selepas menamatkan 22 perlawanan, Negeri Sembilan masih kekal di tangga kesembilan liga dengan kutipan 21 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 5:13 PM