Zaquan Adha (kiri) mengawal bola sambil diasak pemain Sarawak United dalam aksi Liga Perdana di Cheras. FOTO Ihsan NSFC.
Zaquan Adha (kiri) mengawal bola sambil diasak pemain Sarawak United dalam aksi Liga Perdana di Cheras. FOTO Ihsan NSFC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas berjaya melalui pertembungan sengit dan menewaskan Sarawak United FC, Negeri Sembilan FC (NSFC) kini berpeluang untuk muncul juara saingan Liga Perdana musim ini.

Ketua jurulatihnya, K Devan berkata, jika semua pemain dalam pasukan itu dapat meneruskan prestasi cemerlang seperti mana dipamerkan ketika menentang Sarawak United, kelmarin, kejuaraan Liga Perdana boleh dicapai.

"Kita mempunyai peluang cerah untuk bergelar juara Liga Perdana musim ini jika satu pasukan dapat meneruskan prestasi cemerlang seperti mana ditunjukkan ketika perlawanan menentang Sarawak, tempoh hari.

"Saya rasa tidak mustahil untuk kita menjulang kejuaraan kali ini dan peluang yang ada ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pemain dengan memastikan kemenangan dicapai pada perlawanan terakhir menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, nanti," katanya.

NSFC menewaskan Sarawak United 1-0 menerusi jaringan Francis Kone pada penghujung babak perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Kuala Lumpur, Cheras.

Hasil kemenangan itu, NSFC merampas kembali kedudukan di punca carta liga selepas mengumpul 38 mata manakala Sarawak United di tangga kedua dengan 37 mata.

Mengulas lanjut perlawanan itu, Devan mengakui Sarawak menguasai sebahagian besar perlawanan terutama pada separuh masa pertama, namun mereka berjaya mengimbangi kekuatan lawan pada separuh masa kedua sehingga berjaya menjaringkan gol kemenangan.

Sementara itu, kapten pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak berkata, kemenangan yang dicapai ketika berdepan Sarawak adalah hasil semangat juang tinggi yang dipamerkan pemain sehingga minit-minit terakhir perlawanan.

Menurut bekas pemain kebangsaan itu, kemenangan dalam perlawanan itu begitu bermakna apabila dapat membuka peluang buat skuad Hobin Jang Hobin mendapatkan kejuaraan liga musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 1:25 PM