PEMAIN Kedah, Paulo Rangel  (tengah) melakukan asakan kearah pintu gol Melaka. FOTO/ RASUL AZLI SAMAD
PEMAIN Kedah, Paulo Rangel (tengah) melakukan asakan kearah pintu gol Melaka. FOTO/ RASUL AZLI SAMAD
Nazri Abu Bakar

MELAKA United (MU) mengejutkan Kedah selepas menang selesa 4 -1 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Selepas tewas 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di gelanggang sama sebelum ini, skuad Hang Tuah bertindak garang meledak dua gol pada babak pertama.

Kehadiran ketua jurulatih E Elavarasan selepas beliau meninggalkan pasukan untuk mengikuti kursus jurulatih PRO A di Indonesia ketika berdepan JDT, nyata menyuntik motivasi tinggi pemain untuk bertindak cemerlang kali ini.

Gol pembukaan MU hadir menerusi tolakan Khair Jefri Jones selepas menerima hantaran lintang Ifedayo Olusegun pada minit ke-33 perlawanan menggambarkan kesungguhan skuad itu untuk meraih tiga mata.

Tidak cukup dengan itu gawang Lang Merah yang dikawal penjaga gol Mohd Ramdhan Ab Hamid bocor lagi menerusi jaringan R Gopinathan pada minit ke-37 untuk gol kedua tuan rumah.

Anak buah jurulatih Nidzam Adha Yusoff yang cuba mengawal permainan sejak awal saingan bagaimanapun gagal untuk menjaringkan gol walaupun Paulo Rangel turut memiliki peluang pada minit ke -26 namun percubaannya tinggi melepasi palang gol.

Kedah cuba mempamerkan kebangkitan di babak kedua dengan bermula positif merapatkan jurang gol selepas Rangel menghadiahkan jaringan penalti pada minit ke-52 menewaskan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Namun MU menambah derita pelawat menerusi gol ketiga juga hasil jaringan Gopinathan pada minit ke -62 sekali gus menceriakan kira- kira 4,000 penyokong setia.

Pelawat turut berpeluang mengurangkan defisit gol pada minit ke- 80 namun tolakan Alvaro Silva bijak diselamatkan Khairul Fahmi.

Sebaliknya, Ifedayo bintang import dari Nigeria yang juga ayam tambatan MU merembat kencang menerusi kaki kiri dari jarak 25 meter untuk gol keempat pada minit ke-84.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 11:52 PM