Penjaga gol baharu Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat. FOTO Owee Ah Chun
Penjaga gol baharu Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat. FOTO Owee Ah Chun
Nazri Abu Bakar


KEHADIRAN bekas penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apek dianggap rahmat buat penjaga gol utama Melaka United (MU),  Zamir Selamat.   

Baginya, pengalaman luas Apek memberi impak besar terhadap dirinya dan rakan sepasukan beraksi di tahap terbaik pada baki aksi Liga Super musim ini.   

Malah, dia juga melihat penyertaan Apek sebagai pentas buatnya dan penjaga gol lain meningkatkan prestasi semasa, selain memberi peluang mempelajari sesuatu yang baharu dengan bekas penjaga gawang skuad kebangsaan itu.   

 "Dia (Apek) adalah kawan baik saya sejak zaman sekolah dan rakan sepasukan ketika beraksi di peringkat bawah 21 tahun dan 23 skuad negara sebelum ini.  

 "Justeru, inilah kesempatan terbaik buat saya kembali mempelajari sesuatu daripadanya, malah kami sentiasa berusaha meningkatkan corak permainan masing-masing.   

"Pada saya, tidak kira siapa diturunkan dalam perlawanan termasuk ketika bertemu Perak Sabtu ini, apa yang penting kami mampu meraih kemenangan dalam pertemuan itu," katanya.   

Beliau berkata, kehadiran jurulatih baharu, E Elavarasan juga memberi impak besar buat pemain memperbaiki prestasi permainan dalam misi untuk merekod kemenangan MU pada setiap perlawanan.   

"Pemain juga dilihat berjaya membentuk perubahan besar dalam diri mereka, terutama dalam menterjemahkan corak yang diterapkan untuk membolehkan pasukan tidak terus berada dalam kemerosotan prestasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 6:30 PM