PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho. FOTO Reuters
PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho. FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho percaya tiada apa yang mustahil buat Portugal pada kempen Piala Dunia di Russia tahun ini dengan kehadiran Cristiano Ronaldo dalam pasukan itu.

Penyerang Real Madrid berusia 33 tahun itu memainkan watak penting ketika membantu negara itu meraih gelaran juara Euro 2016 di Perancis dan terus membuktikan ketajaman sentuhan penyudahnya bersama kelab Sepanyol itu apabila meledak 42 gol dalam semua pertandingan musim ini.

“Portugal mempunyai skuad yang menarik. Tanpa Cristiano, ia agak mustahil tapi dengan kehadirannya, tiada apa yang mustahil,” kata Mourinho.

Bekas pengurus Chelsea, Real, Inter Milan dan Porto itu turut berkongsi sentimen sama mengenai Agentina yang diketuai Lionel Messi dalam memburu trofi Piala Dunia pertama sejak 1986.

“Saya percaya skuad kebangsaan Argentina tanpa Lionel Messi tidak akan menjadi pencabar utama. Namun, dengan adanya dia, Argentina menjadi salah satu pencabar utama,” katanya.

Mourinho juga percaya juara dunia lima kali, Brazil mempunyai skuad paling seimbang dengan kemampuan pemain mereka yang fleksibel dan memiliki kemahiran individu tinggi. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 10:47 PM