PENYERANG Barcelona, Lionel Messi. FOTO AFP
PENYERANG Barcelona, Lionel Messi. FOTO AFP
Agensi

 

LONDON: Buat julung kalinya dalam tempoh sedekad, Lionel Messi diketepikan daripada senarai akhir anugerah pemain terbaik dunia FIFA ketika musuh utamanya Cristiano Ronaldo perlu bersaing hebat dengan Luka Modrid dan Mohamed Salah untuk memenanginya buat kali keenam.

Messi mendominasi anugerah itu bersama Ronaldo sejak sedekad lalu, namun gagal menempatkan diri dalam finalis tiga pemain terakhir untuk kali pertama sejak 2006.

Messi yang juga pemenang lima kali anugerah berkenaan, turut terpilih sebagai pemenang kedua sepanjang lima kemenangan terdahulu Ronaldo pada 2008, 2013, 2014, 2016 and 2017.

Ronaldo menamatkan tempoh sembilan tahun di Real Madrid dengan penuh bergaya apabila memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara dalam tempoh lima tahun terakhir sebelum membawa haluan ke Juventus pada Julai lalu.

Bagaimanapun, ia bukan jaminan untuk bintang Portugal itu mencipta sejarah baru memenangi anugerah itu buat kali keenam ketika bekas rakan sepasukannya di Real, Luka Modric menjadi pilihan utama pada malam 24 September ini.

Malah, Modrid berpeluang meletakkan namanya selaku pemenang baru selepas 10 tahun berikutan aksi menakjubkan bersama kelab dan negara.

Selain memainkan peranan berkesan dalam perjalanan Real menyambar Liga Juara-Juara, perancang Croatia itu turut menjulang anugerah Bola Emas selepas membantu pasukannya mara kali pertama ke pentas final Piala Dunia, sebelum tumpas kepada Perancis.

"Saya amat berharap Modric memenangi anugerah ini kerana saya fikir persembahan memukaunya di Piala Dunia begitu istimewa," kata bekas penjaga gol Manchester United, Peter Schmeichel yang bertindak sebagai duta FIFA.

"Dia adalah lelaki pendiam ketika bersama Real Madrid, tetapi dia umpama pemimpin hebat yang gah mengemudi pasukannya di Piala Dunia. Dia memakai lilitan kapten, mengepalai pasukan, lelaki pertama yang akan cuba melakukan terjahan, dan ini adalah sisi baru Luka Modric yang belum pernah dilihat."

Salah meledak 44 gol dalam musim pertamanya di Liverpool untuk mengetepikan Messi dan bintang Piala Dunia Perancis, Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann untuk tiga finalis terakhir.

Perancis mungkin tidak berjaya memecah kelompok pemain terbaik, namun dua jurulatihnya - pengurus Piala Dunia Perancis Didier Deschamps dan bekas bos Real Real Madrid, Zinedine Zidane menyertai pengendali Croatia, Zlatko Dalic untuk anugerah jurulatih terbaik.

 

SENARAI FINALIS ANUGERAH FIFA

 

Pemain terbaik lelaki

- Cristiano Ronaldo (Portugal/Juventus)

- Luka Modric (Croatia/Real Madrid)

- Mohamed Salah (Mesir/Liverpool)

 

Penjaga gol terbaik

- Thibaut Courtois (Belgium/Real Madrid)

- Kasper Schmeichel (Denmark/Leicester)

- Hugo Lloris (Perancis/Denmark)

 

Jurulatih lelaki terbaik

- Zlatko Dalic (Croatia)    

- Didier Deschamps (Perancis)

- Zinedine Zidane (Real Madrid)

 

Pemain terbaik wanita

- Ada Hegerberg (Norway/Lyon)

- Dzsenifer Marozsan (Jerman/Lyon)

- Marta (AS/Orlando Pride)

 

Jurulatih wanita terbaik

- Reynald Pedros (Perancis/Lyon)    

- Asako Takakura (Jepun)    

- Sarina Wiegman (Belanda)

 

Anugerah Puskas

- Gareth Bale: Real Madrid - Liverpool (Liga Juara-Juara)

- Denis Cheryshev: Russia - Croatia (Piala Dunia 2018)

- Lazaros Christodoulopoulos: AEK Athens – Olympiacos (Liga Greece)

- Giorgian De Arrascaeta: Cruzeiro – America Mineiro (Serie A Brazil)

- Riley McGree: Newcastle Jets – Melbourne City (A-League)

- Lionel Messi: Nigeria – Argentina (Piala Dunia 2018)

- Benjamin Pavard: Perancis – Argentina (Piala Dunia 2018)

- Ricardo Quaresma:    Iran – Portugal (Piala Dunia)

- Cristiano Ronaldo: Juventus – Real Madrid (Liga Juara-Juara)

- Mohamed Salah: Liverpool – Everton (EPL)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 6:13 PM