KONTRAK Raikkonen bersama Ferrari akan berakhir hujung 2018. -Foto Agensi
KONTRAK Raikkonen bersama Ferrari akan berakhir hujung 2018. -Foto Agensi
Agensi

Juara dunia 2007, Kimi Raikkonen menyaksikan tempatnya bersama Ferrari terancam selepas laporan menyatakan Daniel Ricciardo sedang mengadakan perbincangan bersama pengeluar dari Itali itu.

Ricciardo yang juga pemandu Red Bull menyatakan kepada media ketika saingan Grand Prix Azerbaijan bahawa tiada sebarang perjanjian atau perbincangan antaranya dengan Ferrari.

Raikkonen ketika ditanya perkara itu secara berseloroh berkata, dia sudah biasa dengan cerita mengaitkan dirinya sepanjang karier di F1 sekali gus tidak mahu ambil pusing mengenai masa depannya di Ferrari, namun mengakui akan tiba masanya khabar angin itu mungkin benar.

“Ini adalah cerita sama setiap tahun sejak 15 tahun lalu. Setiap tahun akan ada khabar angin saya akan meninggalkan pasukan.

“Jika anda terus menyatakan perkara yang sama, lama kelamaan mungkin ia akan menjadi kenyataan.

“Saya seronok berlumba dan atas faktor itu saya kekal berada di sini.

“Soal lain sama-samalah kita nantikan. Setiap tahun ada saja khabar angin yang tidak semuanya betul,” katanya.

Kontrak Raikkonen bersama Ferrari akan berakhir hujung tahun ini sementara rakan sepasukan, Sebastian Vettel akan kekal bersama pasukan sehingga hujung 2020.

“Untuk sekarang, apa yang saya mahukan adalah beraksi dengan baik kerana musim masih panjang lagi,” kata Raikkonen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 12:09 PM