Raikkonen akan sertai Sauber musim depan. FOTO Reuters
Raikkonen akan sertai Sauber musim depan. FOTO Reuters
AFP

MILAN: Bekas juara dunia Kimi Raikkonen akan meninggalkan Ferrari pada penghujung tahun ini, menurut pasukan Formula 1 itu, hari ini.

"Scuderia Ferrari mengumumkan pada penghujung musim ini, Kimi Raikkonen tidak lagi bersama kami,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan.

“Kimi memainkan peranan penting kepada pasukan dan sumbangannya sangat besar. Dia karakter utama kepada pembangunan pasukan dan pada masa sama pemandu yang berjiwa besar.”

Raikkonen yang berusia 38 tahun beraksi dalam 287 grand prix, menang 20 kejuaraan sejak melakukan penampilan pertama bersama Sauber pada 2001, pasukan yang bakal diwakilinya semula pada 2019.

"Pasukan Alfa Romeo Sauber F1 berbesar hati mengumumkan Kimi Räikkönen akan menyertai kami pada 2019. Juara dunia F1 2007 itu mengikat kontrak dua musim,” kata jurucakap Sauber.

Raikkonen meninggalkan Formula 1 dua tahun selepas muncul juara dunia bersama Ferrari dan menceburi Kejohanan Rali Dunia selama dua tahun sebelum menyertai semula F1 bersama Lotus pada 2012.

Raikkonen kemudiannya kembali semula ke Ferrari pada 2014.

"Sebagai juara dunia bersama Scuderia Ferrari, dia sentiasa menjadi sebahagian daripada sejarah pasukan dan keluarga. Kami berterima kasih kepada beliau dan berharap masa depannya terus gemilang,” kata pasukan itu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 6:12 PM