RICCIARDO berang gagal tamatkan perlumbaan selepas kegagalan unit kuasa jenteranya. -Foto AFP
RICCIARDO berang gagal tamatkan perlumbaan selepas kegagalan unit kuasa jenteranya. -Foto AFP
AFP

AUSTIN: Daniel Ricciardo meluahkan rasa marahnya dengan menumbuk dinding selepas isu kegagalan unit kuasa memaksanya menarik diri daripada perlumbaan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat awal pagi tadi, kata ketua pasukan Red Bull, Christian Horner.

Dengan rakan sepasukannya Max Verstappen mempamerkan kebangkitan menamatkan saingan di tempat kedua selepas bermula dari petak ke-18, Ricciardo sekali lagi dikecewakan pada musim yang menyaksikan dirinya bergelut dengan prestasi.

“Ia sesuatu yang mengecewakan buat Daniel, saya kasihan dengannya,” kata Horner kepada media selepas perlumbaan kali ini dimenangi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen. “Ia isu sama ketika dia alami di Bahrain.”

Ricciardo yang bakal meninggalkan Red Bull ke pasukan Renault musim depan dilihat sedang bersaing sengit merebut penamat di podium sebelum menarik diri.

“Dia meluahkan kekecewaannya di biliknya di dinding, sesuatu yang kamu boleh kaitkan,” kata Horner. “Dia tidak menyalahkan pasukan. Dia tahu kami melakukan segala-galanya yang termampu.”

Sementara itu, Horner berkata, dia gembira dengan prestasi dipamerkan Verstappen.

“Ia sangat bijak... pemanduan menakjubkan dari petak ke-18!. Ini menarik Max... adil dan perlumbaan yang sengit. Hari ini, dia memandu dalam satu perlumbaan yang luar biasa.

“Kami menggunakan simulasi untuk cuba dan mengawasi tayar dan semuanya memberi maklumat yang tayar harus ditukar pada baki enam pusingan.

“Namun Max berkata, dia mampu mengawalnya. Semua pengeluar tayar kami berkata tidak mungkin dia akan menamatkannya tetapi dia melakukannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 7:25 AM