Manama: Kimi Raikkonen mendedahkan dia lebih seronok dengan kehidupan di Ferrari musim ini berbanding masa lalu sepanjang kariernya.

Menjelang perlumbaan Grand Prix Bahrain minggu ini, pemandu Finland berusia 35 tahun itu menyatakan suasana dalam pasukan Itali itu tahun ini yang terbaik dialaminya berbanding dengan mana-mana pasukan.

“Perlu saya jelaskan, ada masa-masa menggembirakan dan suasana bagus ketika saya berada di Ferrari sebelum ini,” katanya.

“Tahun ini yang terbaik yang pernah dirasai bersama mana-mana pasukan, bagaimana pasukan ini bekerjasama, suasana kerja dan bagaimana ia diuruskan.

“Semuanya amat menakjubkan. Saya amat gembira.”

Ferrari bangkit semula tahun ini dan berjaya menamatkan kemarau kejuaraan selama dua tahun apabila pemandu Jerman, Sebastian Vettel menang di Malaysia bulan lalu.

Kebangkitan mereka berikutan rombakan besar-besaran staf dan pengstrukturan semula pasukan yang menyaksikan Maurizio Arrivabene dari Itali dilantik sebagai prinsipal baru pasukan.

Raikkonen membayangkan dia mungkin kekal bersama pasukan itu selepas kontrak semasanya tamat tahun ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:07 AM