MARC MARQUEZ
MARC MARQUEZ
AFP

JUARA bertahan, Marc Marquez berkata, pasukannya Honda mengharapkan aksi lebih konsisten di Grand Prix Sepanyol hujung minggu ini selepas dia meraih kemenangan pertama musim ini di Amerika Syarikat bulan lalu.

Penunggang Sepanyol berkenaan merakam kemenangan keenam berturut-turut di MotoGP Amerika di Austin bulan lalu sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu kejuaraan, Andrea Dovizioso kepada hanya satu mata selepas tiga perlumbaan.

Perlumbaan pada Ahad membuka tirai saingan Eropah musim ini di litar Jerez de la Frontera yang hanya dimenangi sekali oleh Marquez sepanjang sembilan percubaan.

“Di sini (Eropah), litar-litarnya berbeza dan lebih tradisional, bermula dengan Jerez yang lebih sempit, perlahan dan lebih sukar berbanding di Austin,” kata Marquez.

“Kami mengharungi ujian dengan baik di sini pada penghujung Mac dan kami akan mendekatinya dengan mentaliti positif. Berlumba di hadapan penyokong sendiri dan kelab peminat saya sudah tentu akan memberi kelebihan.

“Kami akan terus bekerja keras dan memberi tumpuan kepada aksi konsisten yang menjadi titik penting kepada pemburuan gelaran.”

Penunggang Ducati, Dovizioso sekali lagi menjadi pesaing utama Marquez untuk kejuaraan tahun ini, selepas melihat harapannya untuk meraih gelaran dunia berakhir apabila terbabas pada perlumbaan terakhir di Valencia.

Kempen Marquez bermula perlahan kali ini, menamatkan saingan di Qatar di tempat kedua sebelum gagal mengutip sebarang mata di Argentina.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 3:23 PM