Kuala Lumpur: Selepas mengharungi dua pusingan kurang kompetitif, pelumba Moto3 negara Adam Norrodin berharap dapat kembali meraih mata pada pusingan seterusnya di Grand Prix (GP) Sepanyol hujung minggu ini.

Adam yang cemerlang pada pusingan pertama di Qatar dengan meraih enam mata, gagal meneruskan rentak itu apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-17 di Argentina dan ke-19 di Austin, Amerika Syarikat.

Namun, tahap keyakinan pelumba SIC Racing Team itu lebih baik apabila beraksi di Litar Jerez kerana pernah melalui sesi ujian pra musim di litar berkenaan.

“Kami sudah mempunyai data yang dimahukan dan ia akan menjadi rujukan utama apabila turun pada sesi latihan bebas pertama, Jumaat ini.

“Keadaan litar di Jerez agak teknikal dengan banyak selekoh tetapi jentera Honda sesuai beraksi di litar ini.

“Sudah tentu kami kami mahu meraih keputusan lebih baik minggu ini selepas keputusan di Argentina dan Austin,” katanya.

Jelas Adam, tidak banyak yang perlu dilakukan dengan jentera kerana pasukannya sudah mempunyai data yang dimahukan.

“Jadi, pada pusingan kali ini saya perlu memperbaiki gaya tunggangan, mendapat rentak dan memecut selaju mungkin.

“Saya mampu memberi saingan yang kompetitif di Jerez. Sasaran utama adalah untuk menamatkan perlumbaan di kelompok 10 terbaik dan wajib meraih mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 8:50 AM