MARQUEZ (depan) pamer tunggangan mantap untuk menangi GP Americas buat kali keenam berturut-turut. -Foto EPA
MARQUEZ (depan) pamer tunggangan mantap untuk menangi GP Americas buat kali keenam berturut-turut. -Foto EPA
AFP

PENUNGGANG Repsol Honda, Marc Marquez memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Americas buat kali keenam berturut-turut, awal pagi tadi sekali pun dikenakan penalti ketika sesi kelayakan untuk memulakan saingan di petak keempat.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu menang dengan kelebihan 3.5 saat (s) di depan rakan senegaranya yang menunggang Yamaha, Maverick Vinales (Yamaha) di Litar Austin, Texas manakala pelumba Itali, Andrea Iannone (Suzuki) ketiga.

Marquez, 25, terpaksa melepaskan kelebihan untuk berlumba di petak utama apabila dikenakan penalti tiga grid perlumbaan selepas dikatakan sengaja mengganggu Vinales dengan menunggang perlahan di depannya ketika sesi kelayakan, semalam.

Sejurus perlumbaan dimulakan, Marquez yang kali pertama meraih kemenangan di Austin pada 2013 meluru untuk berada di tempat kedua dan mendahului perlumbaan sebelum pusingan pertama berakhir untuk kekal di depan sehingga penamat.

“Ia adalah strategi saya untuk terus memberi tekanan sejak awal perlumbaan,” kata Marquez. “Saya tidak mempunyai keyakinan untuk bertarung. Saya hanya terus memberi tekanan dan membuka jurang dan berharap saya boleh meneruskannya. 

“Perlumbaan seperti ini tidak normal. Kamu tidak menjangka untuk mendahului perlumbaan dengan kelebihan sebesar ini.”

Di penghujung perlumbaan, Marquez juga mengakui dia merasa tidak sihat dan bimbang mungkin tidak mampu lagi memberi saingan.

“Saya merasa sedikit tidak sihat dan tidak tahu apa yang saya rasa di penghujung perlumbaan,” katanya. “Saya hanya terus berusaha.”

Marquez yang memburu gelaran dunia MotoGP kelima mendaki ke tangga kedua keseluruhan penunggang dengan mengumpul 45 mata, ketinggalan satu mata di belakang pelumba Itali, Andrea Dovizioso (Ducati) dengan Vinales di tangga ketiga ketinggalan empat mata.

Sementara itu, penunggang negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang memulakan perlumbaan di petak ke-16 gagal menamatkan perlumbaan susulan terjatuh.

Perlumbaan GP Americas adalah yang ketiga musim ini daripada keseluruhan 19 perlumbaan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 11:13 AM