AFP

Jerez de la Frontera: Valentino Rossi (gambar) mahu memastikan impian untuk menjulang gelaran dunia buat kali ke-10 menjadi kenyataan di Grand Prix Sepanyol minggu ini ketika saingan MotoGP melangkah ke benua Eropah.

Pelumba Itali itu berjaya mendaki podium di tiga perlumbaan pertama musim ini di Qatar, Argentina serta Amerika Syarikat sekali gus mengetuai senarai pelumba dan memiliki kelebihan enam mata berbanding rakan sepasukannya di Yamaha Maverick Vinales.

“Saya tidak pernah menyangka akan hadir ke Jerez selaku pendahulu kategori pelumba,” kata Rossi, 38.

“Saya gembira kerana kami berjaya menyelesaikan masalah yang berlaku sejak ujian musim sejuk lalu dan ia membolehkan kami berlumba dengan baik.”

Rossi mempunyai rekod mengagumkan di litar Jerez apabila menang sembilan kali termasuk musim lalu.

“Ini adalah perlumbaan pertama di benua Eropah dan saya sukakan litar Jerez,” kata Rossi yang kali terakhir menjulang gelaran dunia pada 2009.

Dia muncul juara dunia kategori 125cc dan 250cc sebelum melangkah ke MotoGP.

“Kami meningkatkan prestasi dengan baik di Austin sejak sesi ujian bebas dan adalah penting untuk kami membuktikan kebolehan sama di Jerez,” kata Rossi.

Impian Vinales untuk lebih menyerlah sejak menggantikan Jorge Lorenzo tidak kesampaian apabila gagal menamatkan perlumbaan di GP Amerika dua minggu lalu walaupun berjaya memenangi dua perlumbaan awal musim.

“Selepas keputusan mengecewakan di Austin, saya gembira apabila tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata pelumba Sepanyol itu.

“Kami juga sudah membuktikan bahawa kami berpotensi untuk mencabar setiap pusingan dan ia memberikan saya motivasi untuk ke Jerez dengan lebih kuat berbanding sebelum ini.”

Pelumba pilihan tempatan Marc Marquez adalah ancaman utama buat Yamaha dan kejayaannya di Austin membolehkan juara bertahan itu hanya ketinggalan 18 mata di belakang Rossi serta menduduki tangga ketiga kategori pelumba.

“Sudah tentu kemenangan kami di Austin memberikan keyakinan buat pasukan,” kata Marquez. “Berlumba di tempat sendiri sambil mendapat sokongan peminat tempatan adalah sesuatu yang istimewa.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:04 AM