SUBAHAN KAMAL
SUBAHAN KAMAL
Naqib Nor Said

 

PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal puas hati dengan prestasi keseluruhan pasukan lelaki dan wanita negara pada temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018 yang melabuhkan tirainya semalam.

 

Katanya, walaupun kedua-dua pasukan gagal menghadiahkan pingat, namun banyak petanda positif mampu dibanggakan terutamanya skuad lelaki yang berjaya memperbaiki penamat ketujuh edisi lalu dengan meraih tempat kelima kali ini.

 

"Secara keseluruhannya saya merasakan tiada masalah kerana kita pun tidak meletakkan sebarang sasaran. Sebaliknya jurulatih sendiri yang meletakkan sasaran masing-masing untuk atasi pencapaian Sukan Komanwel lalu.

 

"Tetapi apapun, saya rasa ini bukanlah pencapaian terbaik, maksud saya kita mungkin boleh buat lebih baik," katanya ketika dihubungi.

 

Apa yang membanggakan, penamat kelima skuad bimbingan Stephen Van Huizen diraih tanpa beberapa pemain utama seperti Faiz Helmi Jali, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Marhan Jalil dan Izad Hakimi Jamaluddin.

 

"Biarpun tanpa beberapa tonggak tetapi pemain muda yang diberi peluang menggunakan ia sebaik mungkin. Malah dua penjaga gol sokongan turut menunjukkan kesediaan untuk menggalas tugas S Kumar dengan sebaik mungkin," katanya.

 

Ketika lelaki berjaya memperbaiki keputusan, skuad wanita di bawah bimbingan Dhaarma Raj Abdullah pula turun satu anak tangga selepas menutup saingan di kedudukan kelapan.

 

"Walaupun di Glasgow 2014 skuad wanita meraih kedudukan lebih baik ketujuh tetapi untuk kali ini mereka berupaya menyaingi jaguh dunia lain dengan beberapa persembahan terpuji sekali gus menggambarkan masa depan yang cukup cerah." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 11:46 AM