MUHAMMAD DHAARMA RAJ ABDULLAH
MUHAMMAD DHAARMA RAJ ABDULLAH
Naqib Nor Said

KEDUDUKAN Dhaarma Raj Abdullah tidak tergugat apabila Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) terus memberi kepercayaan kepadanya untuk terus membimbing skuad hoki wanita negara menghadapi Sukan Asia Jakarta, Ogos depan.

Selepas gagal membimbing Malaysian Tigress memperbaiki pencapaian tempat ketujuh dalam edisi lalu di Glasgow 2014 dengan sekadar meraih penamat kelapan dalam temasya Sukan Komanwel Gold Coast yang dilabuhkan tirainya semalam, masa depan pengendali berusia 49 tahun itu sedikit goyang.

Namun, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan, Dhaarma masih pengendali terbaik melatih pemain wanita negara dengan kontraknya bersama MHC tamat pada awal tahun depan.

“Saya fikir, ia bukannya satu masalah,” kata Subahan sebaik ditanya berhubung pencapaian tempat kelapan skuad wanita negara. “Saya rasa pencapaian ini tidak kena mengena dengan jurulatih.”

“Walaupun dapat nombor lapan tetapi saya rasa skuad wanita sudah mencapai peningkatan begitu ketara. Dulu kita takut bila nak bertemu pasukan gergasi dunia, tetapi hari ini mereka pula yang makin menghormati kita.

“Malah, kita hanya kalah 3-0 dengan pasukan nombor dua dunia England ketika India yang mempunyai ranking lebih tinggi dibelasah teruk England 6-0. Jadi, saya memang amat berpuas hati dengan prestasi Dhaarma,” katanya ketika dihubungi.

Walaupun sekadar mencatat satu kemenangan sepanjang enam aksi di Gold Coast, tetapi skuad bimbingan Dhaarma berjaya mencuri hati peminat di sana dengan sikap melawan dan keupayaan memberi tentangan sengit kepada pasukan hebat seperti England dan Afrika Selatan.

Malaysia juga dipisahkan daripada melayakkan diri ke penentuan kelima dan keenam menerusi kelebihan gol Afrika Selatan selepas kedua-dua pasukan terikat empat mata sebelum kecundang 2-4 kepada Scotland dalam penentuan tempat ketujuh.

Bahkan, tidak adil sekiranya prestasi pasukan pilihan kelapan temasya itu hanya dinilai berdasarkan perbandingan pencapaian edisi lalu semata-mata, sedangkan prestasi yang ditonjolkan adalah 100 peratus lebih baik.

Ini terbukti apabila statistik kali ini menyaksikan Malaysia meraih lima gol dan 26 pukulan sudut penalti berbanding satu gol dan satu pukulan sudut penalti pada edisi Glasgow 2014 yang mana skuad ketika itu turut gagal mencatat sebarang kemenangan dalam aksi penuh permainan kecuali ketika mencatat kemenangan penentuan tempat ketujuh menerusi penentuan penalti.

“Walau apa jua keputusan, Dhaarma adalah pilihan paling tepat untuk melatih skuad wanita dan saya yakin kalau beliau diberi masa lebih lama pastinya pasukan itu akan terus meningkat dan mampu melakar pelbagai kejutan selepas ini,” tambah Subahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 7:48 PM