SUMAREH (kiri) meraikan kemenangan gol bersama rakan pasukannya. -Foto ASWADI ALIAS
SUMAREH (kiri) meraikan kemenangan gol bersama rakan pasukannya. -Foto ASWADI ALIAS
Zulfaizan Mansor


HASRAT Pahang untuk merapatkan kedudukan dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) sedikit terganggu apabila terikat 2-2 dengan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Biarpun kembali ke tangga kedua liga, keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Dollah Salleh kini ketinggalan empat mata di belakang JDT dan berkongsi 11 mata dengan pasukan di kedudukan ketiga, Terengganu.

Bagi Kuala Lumpur, satu mata diraih di gelanggang sendiri itu menyaksikan mereka kekal di kedudukan kelapan dengan mengumpul tujuh mata selepas enam perlawanan.

Pada aksi sebentar tadi, Guilherme De Paula terlebih dahulu menceriakan penyokong tuan rumah apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-10

namun tidak bertahan lama selepas Mohamadou Sumareh menyamakan kedudukan dua minit kemudian dengan menanduk masuk bola hantaran Chan Vathanaka.

Kapten Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin kembali meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-39 selepas tenang menolak masuk bola umpanan De Paula.

Pahang terpaksa menunggu hingga minit ke-60 untuk sekali lagi mengikat kedudukan hasil rembatan cantik R Kogileswaran dari luar kotak penalti yang memerangkap penjaga gol Kuala Lumpur, Khatul Anuar Md Jalil.

Tonggak pertahanan, Muslim Ahmad hampir meletakkan Pahang di depan pada minit ke-78, namun sepakan percumanya hanya sedikit melepasi palang gol. Kedudukan 2-2 kekal hingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 12:23 AM