PENJAGA gol Kuala Lumpur, Khatul Anuar Md Jalil menepis bola pada saingan Liga Super bertemu Pahang, malam tadi. - Foto ASWADI ALIAS
PENJAGA gol Kuala Lumpur, Khatul Anuar Md Jalil menepis bola pada saingan Liga Super bertemu Pahang, malam tadi. - Foto ASWADI ALIAS
Zulfaizan Mansor

 

KEBANGKITAN luar biasa AS Roma menentang kelab gergasi Sepanyol, Barcelona pada suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menjadi inspirasi terbaik buat Kuala Lumpur untuk melakukan perkara sama pada suku akhir kedua Piala FA berdepan Selangor, Sabtu ini.

Tugas berat menanti Kuala Lumpur untuk melakar kejutan luar biasa selepas tewas 3-0 di tangan Selangor pada aksi pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, 7 April lalu.

Bagi jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel, dia masih belum mengangkat bendera putih, sebaliknya percaya pemainnya mampu melakar kejutan ke atas Red Giants.

“Sudah pasti kami akan cuba bangkit. Bila saya katakan kami, maksudnya bukan saya saja, pemain dan semua staf juga perlu bangkit. Memang kami lakukan kesilapan pada aksi sebelum ini, tewas 3-0 dan (Guilherme De Paula) dilayangkan kad merah.

“Tetapi kami tetap akan berjuang, kami tidak berputus asa kerana apa saja boleh berlaku dalam bola sepak. Saya percaya kepada semua pemain walaupun kami ketinggalan tiga gol.

“Tiada siapa sangka minggu lalu Roma berjaya tewaskan Barcelona 3-0. Tiada siapa sangka Juventus boleh bangkit mendahului Real Madrid dengan 3-0 di Santiago Bernabeu. Bola sepak menarik, semua perkara anda tidak boleh jangka,” katanya.

Maciel berkata demikian pada sidang media selepas seri 2-2 menentang Pahang pada aksi Liga Super malam tadi.

Mengulas berkenaan perlawanan itu, Maciel mengakui berpuas hati dengan persembahan pemainnya walaupun sekadar berkongsi satu mata di gelanggang sendiri.

“Satu perlawanan yang sengit dan kedua-dua pasukan beraksi amat pantas. Pahang juga memberi ruang kepada kami dan pemain saya cipta banyak peluang.

“Kami berjaya mendahului pada babak pertama, cuma sedikit kesilapan menyebabkan Pahang berjaya mendapatkan gol penyamaan. Namun, secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan satu mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 6:13 PM