PEMAIN TFC Lee Andrew Tuck (tengah) dikawal pemain Kuala Lumpur pada perlawanan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PEMAIN TFC Lee Andrew Tuck (tengah) dikawal pemain Kuala Lumpur pada perlawanan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Firdaus Hashim


TUAH beraksi di gelanggang sendiri nyata dimanfaatkan dengan sebaiknya pasukan Kuala Lumpur (KL) apabila mengejutkan Terengganu FC (TFC) dengan kemenangan 3-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi.

Ia perlawanan wajib menang buat skuad warga kota selepas menghuni kelompok tiga terbawah liga dengan aksi terakhir menyaksikan KL dibelasah 4-0 oleh Pahang pada 25 Mei lalu.

Bagi skuad penyu pula, mereka turut terdesak memburu tiga mata untuk terus mencabar tiga pasukan tangga teratas iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Perak dan Pahang dengan anak buah Irfan Bakti di kedudukan keempat.

Sebaik wisel perlawanan bermula, tuan rumah yang dikendalikan oleh jurulatih kelahiran Brazil, Fabio Da Silva tidak menunggu lama untuk mengancam kubu pelawat menerusi percubaan jarak jauh ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin yang melambung tinggi pada minit ketiga.

TFC kemudian menyusun rentak dan hasilnya beberapa gerakan berbahaya disajikan dengan sentuhan Tchetche Kipre terkana palang minit kelapan serta tandukan Nasrullah Haniff Johan (m-17) yang tepat ke arah penjaga gol baharu Kuala Lumpur, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Pelawat terus menekan pasukan tuan rumah pada minit ke-41, namun kecekapan Sharbinee yang berjaya menepis sebanyak tiga kali berturut-turut percubaan Lee Tuck dan Kipre nyata melegakan penyokong tuan rumah.

Namun, di sebalik penguasaan pelawat, mereka dikejutkan jaringan tunggal KL hasil kesilapan penjaga gol, Wan Muhammad Azraie menangkap kemas bola sepakan percuma Paulo Josue yang kemudiannya mudah disambar Zhafri Yahya pada minit ke-45.

Sebaik separuh masa kedua bermula, KL menggandakan jaringan menerusi tolakan mudah penyerang Guilherme De Paula selepas bijak menyempurnakan hantaran ke belakang Paulo Josue pada minit ke-47.

Pelawat cuba bangkit memburu gol dengan beberapa gerakan dan peluang terbaik mereka muncul pada minit ke-78, namun jaringan Abdul Malik Mat Ariff itu tidak dikira kerana terlebih dahulu terkena tangannya.

Ketika anak didik Irfan Bakti bertungkus lumus mencari gol, benteng pertahanan mereka dihukum lagi menerusi jaringan jarak jauh Paulo Josue di minit ke-81 sekali gus keputusan itu kekal hingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 12:55 AM