DE Paula meledak dua gol untuk membantu Melaka FC mengikat Harini FT 3-3, malam tadi. FOTO Melaka FC
DE Paula meledak dua gol untuk membantu Melaka FC mengikat Harini FT 3-3, malam tadi. FOTO Melaka FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang naturalisasi negara, Guilherme De Paula nyata melepaskan geram ke atas pengkritik yang meragui kemampuannya apabila 'mengamuk' membantu Melaka FC meraih satu mata dalam aksi Liga M3 malam tadi.

Dalam aksi menentang Harini FT di Stadium UPM di Serdang itu, De Paula meledak dua gol untuk membantu pasukannya mengikat lawan 3-3.

Kejayaan mencetak dua gol itu seolah memberi 'signal' yang dirinya sudah bersedia merebut tempat dalam skuad Harimau Malaya.

Bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu meledak pada minit ke-50 dan 61, dengan satu lagi gol disumbangkan Farid Khazali di minit 12.

Manakala, tiga gol Harini FT pula diraih menerusi N Thanabalan (m-31), D Kugan (m-53) dan Nasir Basharudin (m-90).

Berdasarkan tinjauan Arena Metro di laman Facebook pasukan Melaka FC, ramai penyokong yang merindui aksi De Paula.

Malah, ada juga yang percaya jika penyerang berusia 36 tahun itu mengekalkan prestasi itu, tidak mustahil De Paula akan kembali memperkuatkan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon selepas ini.

"De Paula keluarkan pelbagai 'skill', ini yang kita mahukan," tulis Erul Hnz, sambil Hasnan Yunos menyatakan penyerang kelahiran Brazil itu hampir mencetak hatrik.

Seorang lagi peminat, Khaideer Amir akui satu kerugian apabila JDT melepaskan peledak yang sudah mencetak dua gol dalam 13 aksi bersama skuad kebangsaan di pentas antarabangsa itu.

"Tengok, aku dah cakapkan. Jual De Paula memang satu kerugian besar ini," kata Khaideer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 4:02 PM