AKSI Radwanska ketika menentang Halep. - Foto USA TODAY
AKSI Radwanska ketika menentang Halep. - Foto USA TODAY
Reuters

MIAMI: Bekas juara Agnieszka Radwanska mengejutkan pemain nombor satu dunia Simona Halep di pusingan ketiga Terbuka Miami dengan kemenangan 3-6 6-2 6-3.

Pemain Poland itu, muncul juara di Miami pada tahun 2012, menang enam daripada tujuh permainan terakhir dalam set penentuan untuk mengesahkan kemenangan dalam tempoh satu jam 48 minit.

Pilihan kelima Karolina Pliskova bergelut sebelum mengatasi pemain Taiwan Hsieh Su-Wei dan juara tiga kali di Miami Victoria Azarenka memerlukan tiga set untuk menewaskan Anastasija Sevastova dari Latvia.

Halep, yang tewas pada separuh akhir Indian Wells minggu lalu kepada juara kejohanan itu, Naomi Osaka dari Jepun, menang set pertama selepas lawan melakukan 10 kesilapan sendiri.

Tetapi Radwanska bangkit memenangi dua set seterusnya selepas Halep pula melakukan deretan kesilapan sepanjang dua set terakhir.

Pemain Republik Czech, Pliskova ditentang hebat oleh Hsieh sebelum meraih kemenangan 6-4 1-6 7-6(4).

Selepas bekas pemain nombor satu dunia itu memenangi set pertama, pakar acara beregu Hsieh menguasai set kedua dengan memaksa lawan melakukan 12 kesilapan.

Pliskova terpaksa menunggu hingga ke mata akhir ketujuh sebelum dapat menamatkan cabaran pemain Taiwan itu.

Azarenka juga bergelut ketika bertemu Sevastova, dan bekas pemain nombor satu dunia itu gembira berjaya meraih kemenangan walaupun tidak bermain pada tahap sebenar.

“Saya tidak rasa saya mempamerkan permainan terbaik saya, tetapi perlawanan seperti ini adalah cukup penting buat saya sekarang,” kata Azarenka yang menang 3-6 6-4 6-1 ke atas pemain pilihan ke-20 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 10:46 AM