Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Pemilik resort yang menganjurkan parti liar 'Aloha' akan dikenakan tindakan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002.Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris, berkata, pemilik resort berkenaan akan dikenakan kompaun maksimum oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebanyak RM25,000.

"Kami sudah memanggil dan mendengar penjelasan daripada pemilik resort dan didapati mereka melanggar peraturan mengikut seksyen berkenaan.

"Kami turut mendapati pemilik resort itu sudah menganjurkan pesta liar 'Aloha' sejak 10 tahun lalu. Namun berlaku penangguhan penganjuran berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 dan 2021," katanya tadi.

Terdahulu, Razali yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal mengadakan perjumpaan dan mendengar penjelasan daripada pemilik resort yang menganjurkan parti liar di Pulau Lang Tengah.

Selasa lalu, tular poster melalui media sosial mengenai penganjuran acara memaparkan sekumpulan wanita berpakaian seksi termasuk berbikini di tepi pantai yang dikatakan berlaku di Pulau Lang Tengah, di sini, pada Isnin lalu.

Selain poster, turut tersebar foto dan video yang didakwa dipetik dari parti yang turut diisi nyanyian serta tarian, sehingga menimbulkan kecaman dan kritikan netizen.

Mengulas lanjut, Razali berkata, pemilik resort berkenaan didapati bersalah melanggar peraturan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya, pengusaha resort di negeri ini termasuk di pulau peranginan diingatkan tidak melanggari SOP ditetapkan kerajaan.

"Pengusaha resort diingatkan tidak mengambil kesempatan berikutan kehadiran terlalu ramai pelancong dengan menganjurkan aktiviti yang melanggar SOP.

"Kerajaan tidak mahu menjadikan negeri ini sebagai tempat kecelakaan maksiat dan tindakan lebih tegas akan dikenakankeatas pengusaha resort yangdidapati melanggar peraturan itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Sumer Bay Resort, Datuk Chong Fah Ming, berkata pihaknya akur dengan denda yang akan dikenakan.

"Kita meminta maaf dan akan lebih berwaspada serta berhati-hati untuk menganjurkan aktiviti pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 12:21 PM