SERENA WILLIAMS
SERENA WILLIAMS
AFP

NEW YORK: Juara enam kali, Serena Williams nyaris ditunjukkan jalan keluar sebelum bangkit menewaskan pemain bukan pilihan, Kaia Kanepi 6-0, 4-6, 6-3 sekali gus mara ke suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS), pagi tadi.

Juara Grand Slam 23 kali itu pada awalnya dijangka mudah untuk memenangi perlawanan apabila hanya memerlukan tempoh 18 minit bagi memenangi set pertama.

Namun, lawannya dari Estonia itu yang menewaskan pemain nombor satu dunia, Simona Halep di pusingan pertama berjaya menyamakan kedudukan hasil kemenangan set kedua, sekali gus membuatkan penonton di Stadium Arthur Ashe memberi sokongan padu kepada Serena pada set ketiga.

"Ia bukan perlawanan yang mudah," kata Serena.

"Memenangi perlawanan besar dan penting dalam persaingan yang sukar membuatkan saya lega,” kata Serena yang akan bertemu pilihan kelapan dari Republik Czech, Karolina Pliskova di suku akhir.

Pliskova yang menewaskan Serena di separuh akhir Terbuka AS 2016 mara selepas menewaskan pemain Australia, Ashleigh Barty 6-4, 6-4.

Sementara itu, juara bertahan, Sloane Stephens yang tampil sebagai pilihan ketiga turut mara ke suku akhir selepas menewaskan Elise Mertens 6-, 6-3.

Dia akan bertemu pemain Latvia, Anastasija Sevastova bagi perebutan slot ke separuh akhir.

Sevastova mara selepas menyingkirkan pilihan ketujuh, Elina Svitolina 6-3, 1-6, 6-0 sekali gus menyaksikan hanya tinggal dua daripada 10 pemain yang diletakkan pilihan berjaya meneruskan cabaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 1:16 PM