CAROLINE WOZNIACKI
CAROLINE WOZNIACKI
AFP

PEMAIN nombor dua dunia, Caroline Wozniacki hampir dimalukan lawan kurang ternama dari Australia, Ashleigh Barty sebelum menang 6-2, 4-6, 6-4 untuk mara ke pusingan 16 terakhir Terbuka Madrid, awal pagi tadi.

Caroline yang cemas selepas ketinggalan 4-2 di set terakhir kembali bangkit pada empat permainan terakhir sebelum mencapai kemenangan.

Ashleigh yang berusia 22 tahun itu dihampakan dengan pukulan lemah pada set terakhir dan melakukan 54 kesilapan dalam perlawanan itu.

Caroline akan menentang Kiki Bertens yang mengejutkan pemain pilihan ke-15, Anastasija Sevastova 6-1, 6-4 di pusingan kedua.

“Sudah tentu satu lagi perlawanan sukar,” kata Caroline. “Dia memiliki servis kencang dan pukulannya juga kuat selain dia suka tanah liat.”

“Undian saya di sini tidak mudah tetapi saya tak kisah itu semua. Saya akan lawan dan cuba yang terbaik kerana ramai pemain yang mampu beraksi dengan baik di atas gelanggang tanah liat,” kata Caroline.

Sementara itu, pemain Republik Czech, Karolina Pliskova menamatkan kemaraan bekas pemain nombor satu dunia, Victoria Azarenka 6-2, 1-6, 7-5 untuk menempah pertemuan dengan juara Terbuka Amerika Syarikat, Sloane Stephens di pusingan ketiga.

Pemain veteran dari Belarus, Victoria yang melakukan penampilan kali pertama di atas tanah liat dalam masa dua tahun bangkit selepas ketinggalan 3-0 di set terakhir.

Bagaimanapun, Karolina mematahkan servis lawannya pada permainan ke-11 untuk menang perlawanan sengit itu.

Seorang lagi bekas pemain nombor satu dunia, Maria Sharapova dari Russia turut bergelut di set pertama sebelum menewaskan pemain Romania, Irina-Camelia Begu 7-5, 6-1.

Bintang Russia berusia 31 tahun itu bangkit selepas ketinggalan 3-1 menamatkan set pertama dengan pukulan kencang dan selepas mendapat semula momentum, Maria menang 20 daripada 22 mata untuk menempah tempat ke pusingan seterusnya.

Dia akan menentang finalis tahun lalu, Kristina Mladenovic yang mengakhiri cabaran pemain China, Zhang Shuai 6-4 4-6 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 11:12 AM